Perpustakaan Negara Prihatin Nasib Anak-Anak Gaza

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengambil berat tentang nasib yang dialami oleh anak-anak Gaza dalam berhadapan dengan kekejaman berterusan dan serangan zalim rejim Zionis. Menyedari tanggungjawab kemanusiaan untuk membantu rakyat Gaza, PNM telah melancarkan Tabung Kemanusiaan Untuk Kanak-kanak Gaza yang akan digerakkan di semua lokasi PNM di seluruh negara selama sebulan.

Majlis pelancaran tabung ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarahnya Datuk Raslin Abu Bakar bersempena pelancaran Festival Kanak-kanak 1Malaysia: Kami Pembaca Setia@PNM di Auditorium PNM, di sini hari ini. Usaha murni PNM ini digerakkan secara kerjasama dengan HALUAN Malaysia melalui Biro HALUAN Palestin.

Raslin berkata kempen yang diusahakan oleh PNM ini bertujuan menyalurkan bantuan khusus untuk kanak-kanak di Gaza yang telah sekian lama hidup dalam kesusahan, berhadapan dengan peperangan dan embargo. Keadaan ini menghalang mereka daripada mendapat pendidikan dan kebebasan sepertimana kanak-kanak di negara kita. Bertepatan dengan usaha HALUAN Malaysia memberi bantuan dalam sektor pendidikan kanak-kanak di Gaza, PNM menyeru pengunjung perpustakaannya di seluruh negara supaya mengambil peluang menghulur derma ikhlas sepanjang kempen ini, apatah lagi kanak-kanak Gaza amat memerlukan bantuan kerana baharu mengharungi kegetiran ketika diserang akhir November lalu.

Sejak gencatan senjata, HALUAN Malaysia menyalurkan bantuan kecemasan sumbangan rakyat Malaysia untuk perubatan, makanan, pakaian dan tempat tinggal sementara penduduk Gaza. HALUAN Malaysia juga sedang bekerjasama dengan NGO Sahabat Al-Aqsha Indonesia bagi membangunkan sebuah sekolah rendah syariah di kem pelarian Deir Balah, tengah Gaza. Apabila siap nanti, sekolah yang dikendalikan oleh Kementerian Wakaf Palestin ini akan dapat memberi peluang pendidikan kepada 800 orang kanak-kanak Gaza.

Sumbangan terus melalui HALUAN Malaysia boleh dibuat kepada “Tabung HALUAN Palestin” di Bank Islam Malaysia Berhad 14 023 01 003429 2 atau Maybank Berhad 5644 9020 8528.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan melalui talian 019-218 7861 atau 013 282 0731.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts