Pesakit kanser meninggal dunia di lintasan sempadan

GAZA, 21 Jun 2018 — Pesakit kanser Masoud Abdul Hai Abu Saqer, 49, meninggal dunia di pintu lintasan sempadan Beit Hanoun semalam, ketika menunggu untuk ditemuduga bagi mendapatkan permit kebenaran rawatan di Hospital Augusta Victoria, Baitulmaqdis Timur.

Menurut kenyataan pertubuhan hak asasi Al-Mezan, Masoud memiliki semua dokumen dan surat rujukan lengkap yang disyaratkan oleh rejim Zionis.

Bahkan beliau sebelum ini pernah membuat tiga kali permohonan untuk mendapatkan rawatan di Hospital al-Makassed di Baitulmaqdis, sejak beliau disahkan menghidap kanser pada bulan Disember 2017. Semua permohonan beliau telah ditolak.

Masoud ditemuduga oleh pihak perisikan Zionis di Terminal Erez (Beit Hanoun) pada 23 Januari lalu. Namun pihak perisikan tidak langsung berbincang tentang rawatan dan laporan perubatan, sebaliknya bertanya tentang aktiviti pejuang Palestin di Gaza. Mereka juga cuba merekrut beliau sebagai pemberi maklumat, dengan imbuhan mendapat kebenaran melintas sempadan.

Setelah gagal mendapat kebenaran pihak Zionis, beliau berjaya mendapatkan rawatan di Hospital Nasser di Mesir di mana doktor telah membuang buah pinggannya yang dijangkiti kanser.

Setelah pulang ke Gaza, kanser tersebut merebak semula.

Tujuh pesakit kanser Gaza, termasuk tiga wanita, meningal dunia sejak awal tahun 2018 apabila permohonan mereka untuk melintas sempadan dinafikan atau ditangguhkan.

(IMEMC, WAFA)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts