Pintu Rafah dibuka kepada orang ramai

drasmarawati-smallLaporan Dr Asmarawati Md Yatim
Pakar Anaesthesiology
Doktor HALUAN di Gaza

 

Minggu lalu, ribuan penduduk Gaza menyerbu ke pintu masuk di sempadan Rafah mendesak supaya pintu tersebut dibuka dan seterusnya dapat mengurangkan sengsara yang ditanggung akibat sekatan sejak beberapa bulan lalu, dan musibah mereka digandakan lagi dengan serangan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel. Menurut laporan, sekurang-kurangnya 4 orang tercedera apabila pihak berkuasa Mesir membuat tembakan ke udara dan menggunakan baton dan meriam air untuk menyurai mereka.

Lori dengan muatan barang bantuan menunggu di sempadan Mesir-Gaza di Rafah.
Lori dengan muatan barang bantuan menunggu di sempadan Mesir-Gaza di Rafah.

Alhamdulillah, kini pintu masuk ke Gaza di sempadan Rafah dibuka kepada orang ramai pada hari Isnin dan Rabu. Manakala kenderaan membawa barangan bantuan dibenarkan masuk pada hari-hari lain. Dengan krisis kemanusiaan semakin meningkat, sebahagian daripada kenderaan yang sudah menunggu beberapa hari untuk masuk akhirnya dapat membawa barangan dan peralatan bantuan seperi air, makanan dan ubatan. Semoga pintu Rafah akan dibuka secara konsisten kerana tidak siapa dapat menjangka apa yang akan berlaku esok lusa. Mudah-mudahan pasukan HALUAN nanti akan dapat masuk ke Gaza dengan mudah.

Saya amat bersyukur kerana berpeluang membantu mereka. Terdapat 7 buah hospital kerajaan dan lebih dari 10 hospital swasta beroperasi di Gaza, kebanyakannya di Gaza City. Palestin sangat bertuah kerana mempunyai ramai doktor, malangnya mereka tidak mempunyai peralatan yang mengcukupi. Masih banyak peralatan medikal tidak dibenarkan dibawa masuk melalui pintu Rafah.

gaza-crossing-2Kini sudah beberapa minggu mereka mengisytiharkan genjatan senjata. Saya tidak fikir Israel sudah berhenti daripada menyerang rakyat Palestin. Rumah mereka sudahpun diranapkan, ramai anak-anak sudah dibunuh dan yang dicacatkan, hampir semua bangunan sudah tidak berfungsi. Pun begitu, 9 rakyat Palestin tercedera, kebanyakannya kanak-kanak, apabila pesawat tentera Israel menembak roket ke bandar Khan Younis hari Khamis lepas. Saya masih dapat mendengar bunyi pesawat F16 berdengu di udara.

Jumaat dan Sabtu adalah hari cuti di Palestin. Kami sempat meluang masa melihat kemusnahan di Gaza City. Kerosakan sangat dahsyat. Semua stesen polis di Gaza telah dibom, begitu juga dengan masjid dan bangunan parlimen. Seperti yang anda maklum, universiti juga turut menjadi mangsa. Saya dapat lihat banyak rumah yang rosak sepenuhnya akibat serangan bom.

Sungguh menyedihkan dan menyayat hati. Tapi suatu perkara yang saya dapat pelajari dari rakyat Palestin adalah sikap ketabahan dan kesabaran mereka. Jelas sekali mereka sangat tabah dan sabar dalam menghadapi segala kesusahan dan penderitaan dari musibah ini. Walaupun mereka kehilangan anak, saudara, ibubapa, keluarga… mereka tetap hidup dalam suasana ramah dan redha dengan apa yang berlaku.

InsyaAllah dengan jiwa yang kental itu mereka akan dapat membina semula keamanan dan kemerdekaan dari penaklukan secara kejam rejim Zionis Israel. Sama-sama kita perbanyakan doa untuk mereka. Dalam masa yang sama, kita perlulah menghulurkan bantuan dengan penuh ikhlas supaya kita dapat sama-sama menginsafi musibah ini.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts