Polis Zionis serang jemaah di Masjid al-Aqsa

BAITULMAQDIS, 12 Ogos 2019 — Pasukan polis Zionis secara ganas menyerang para jemaah yang hadir untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di Masjid al-Aqsa pagi semalam, menyebabkan lebih 61 orang tercedera.

Sebahagian daripada ahli jemaah tercedera ketika cuba menghalang pendatang Yahudi menceroboh masuk.

Kenyataan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menyebut sekurang-kurangnya 61 orang, termasuk beberapa orang pegawai tinggi Jabatan Wakaf dan juga petugas perubatan, tercedera diserang dengan peluru getah, gas pemedih mata dan baton. Seramai 15 orang daripada mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital al-Makassed.

Polis Zionis menyerang seorang paramerdik yang sedang merawat mangsa dengan meletupkan grenad pelali, menyebabkan beliau cedera di bahagian tangan.

Sementara itu polis Zionis menangkap tiga pemuda Palestin, termasuk Mo’ab Abu Khdeir, 22, yang cedera selepas diserang berdekatan Kubah as-Sakhra’.

Jabatan Wakaf terpaksa menangguhkan solat sunat Aidiladha selama satu jam, yang sepatutnya dijalankan pada jam 6:30 pagi, bagi mengatasi tindakan pendatang Yahudi yang cuba menceroboh masuk. Pendatang Yahudi cuba menceroboh masuk kononnya untuk memperingati ulang tahun pemusnahan kuil mereka di situ.

Polis Zionis menuduh kehadiran puluhan ribu penduduk Palestin di tapak suci itu sebagai punca pertempuran. Sedangkan pertubuhan-pertubuhan pelampau Yahudi melancarkan kempen menceroboh masuk al-Aqsa secara besar-besaran sepanjang minggu ini.

Pendatang Yahudi tetap diiring menceroboh masuk tapak suci umat Islam itu ketika para jemaah menyambut Aidiladha, dengan diiring ketat oleh pasukan polis bersenjata.

(PIC, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts