BAITULMAQDIS, 13 Mac 2019 — Puluhan penduduk Palestin mendirikan solat Isyak di jalan utama di hadapan Pintu al-Asbat malam tadi, membantah tindakan polis Zionis menutup Masjid al-Aqsa.

Polis Zionis menutup tapak suci umat Islam itu selepas insiden kebakaran kecil di setesen polis di perkarangan masjid. Penduduk Palestin mengesyaki kebakaran itu sengaja dicetus oleh polis Zionis atau ejen mereka sendiri, sebagai alasan untuk menutup semula Bab al-Rahma. Polis Zionis gagal menutupnya sejak tiga minggu lalu.

Sehingga masuk waktu Isyak malam tadi, laungan azan tidak lagi berkumandang di masjid suci itu.

Terdahulu, para jemaah juga mendirikan solat Asar dan Maghrib di hadapan Pintu al-Asbat. Sebahagian daripada jemaah diserang dan ditembak oleh pasukan polis Zionis.

Takbir dilaungkan di seluruh penjuru Kota Lama Baitulmaqdis, di mana penduduk diseru membanjirinya bagi melindungi Masjid al-Aqsa.

Sejak semalam, polis Zionis menutup semua pintu-pintu Masjid al-Aqsa dan menangkap lapan orang termasuk tiga wanita.

Polis Zionis menggempur Masjid al-Aqsa melalui Pintu al-Maghareba. Mereka menyerbu Kubah as-Sakhra’, menyerang pasukan murabitun (penjaga masjid) dan mencetus suasana panik di kalangan wanita dan kanak-kanak.

Pasukan Bulan Sabit Merah memindahkan empat orang yang tercedera ke hospital, selepas dipukul oleh polis Zionis. Polis turut menyerang pasukan perubatan di Bab al-Asbat dan mengusir mereka dari kawasan tersbut.

(WAFA, PIC, Maan)

SHARE