PPS: Kesihatan tahanan di penjara Israel semakin teruk

Bagi Akram Abdul Aziz Mansour, hukuman penjara seumur hidup ke atasnya mungkin akan berakhir tidak lama lagi. Beliau adalah antara ratusan tahanan politik Palestin yang dinafikan rawatan kesihatan oleh rejim pengganas Israel, walaupun mereka jelas sakit atau mengalami masalah kesihatan.

Mansour adalah seorang tahanan di penjara Al Naqab, sebuah penjara di kawasan gurun, di mana dia dan beberapa orang lain menemui peguam dari Palestinian Prisoners Society (PPS.)

Peguam PPS melaporkan bahawa baru-baru ini Mansour telah pengsan ketika melakukan latihan di waktu pagi, dan dipindahkan ke klinik penjara. Doktor di klinik tersebut menegaskan bahawa Mansour adalah sihat. Pegawai-pegawai penjara diminta untuk membawa masuk pegawai perubatan pakar untuk merawat masalah alahan kulit dan tekanan darah tinggi yang dihidapi oleh Mansour, yang kini telah ditahan dalam penjara selama 30 tahun. Beliau juga dilaporkan mengalami masalah insomnia dan pendengaran di telinga kirinya.

Peguam tersebut turut berkata bahawa pihak pentadbiran penjara telah membiarkan masalah kesihatan Mansour sejak 4 tahun lalu. Mansour juga disyaki mengalami masalah ketumbuhan dan serangan sawan. Keadaan Mansour kini sangat kurus dan tidak dapat menyuap makanan kerana masalah sakit gigi.

Seorang tahanan lain, Tarik Ghanem Zidane, bimbang akan kesihatannya yang semakin teruk akibat batu karang. Beliau mendakwa penyakitnya itu menyebabkan beliau mengalami tekanan darah tinggi dan masalah debaran jantung (palpitasi) di samping sakit kepala teruk dan cirit-birit. Dia memerlukan pembedahan dan jagaan susul di Hospital Penjara Ramle, tetapi pengurusan penjara Israel menghalang beliau dari mendapat rawatan tersebut.

Mohammed Rafat Ali Sari dari kampung Beit Souriek dipenjarakan sejak bulan April 2002. Beliau yang dihukum hampir 10 tahun penjara terpaksa berhadapan dengan serbuan waktu malam di penjara, yang merupakan satu jenis penyiksaan yang kejam, termasuklan penghinaan dan hukuman dera sembarangan.

Seorang lagi tahanan, Abdel Jawad, 20 tahun, yang berasal dari Jericho telah dikenakan hukuman penjara selama 20 bulan pada bulan April 2008. Beliau memberitahu PPS bahawa keadaan di penjara Al Naqab adalah sangat teruk. Peguam PPS mendesak pentadbiran Israel sekurang-kurangnya membenarkan tahanan mendapat pakaian bermusim dari keluarga mereka.

Hatem Suleiman Asad dari kem pelarian Jenin yang sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun sejak Mei 2004 mendesak pertubuhan kemanusiaan antarabangsa khususnya Red Cross supaya memastikan rawatan ke atas tahanan diberikan secukupnya. Asad menyebut bahawa dia mengalami masalah sakit mulut dan gigi rosak kerana penjagaan gigi yang tidak baik, yang juga mengakibatkan muka bengkak dan sakit gusi.

Mahmoud Abdullah Faqih dari Ramallah pula mendakwa kesihatannya terus meruncing dan kini mengalami kesakitan sista (cyst) yang teruk di bahagian belakangnya. Penyakit tersebut diketahui sejak 3 tahun lalu,dan lazimnya memerlukan pembedahan. Bagaimanapun, Faqih tidak pernah menerima rawatan, dan doktor di penjara yang menemui penyakit tersebut tidak memberi sebarang rawatan. Faqih yang sedang menjalani hukuman penjara selama 50 tahun tidak akan mampu untuk menunggu lagi. Hinggakan Presiden Mahmoud Abbas dan Perdana Menteri Salam Fayyd pernah melobi supaya beliau mendapat rawatan.

Peguam PPS tersebut juga telah menemui seorang ahli sayap kiri Popular Front yang berasal dari kampung Qabatia. Beliau ditahan selama 32 bulan tanpa sebarang dakwaan mahupun pembicaraan. Beliau mendesak penguasa penjara Israel supaya mengambil tindakan undang-undang ke atasnya sebagaimana seharusnya dibuat, dan tidak sewenang-wenangnya menghalang hak beliau sebagai seorang tahanan. Beliau juga mendakwa terdapat 27 orang tahanan yang senasib dengannya. Belaiu juga mendakwa bahawa Red Cross dengan sengaja tidak mengambil perhatian apabila beliau memberitahu tentang keadan tahanan-tahanan tersebut. Beliau terpaksa berhadapan dengan berbagai kerenah pentabdiran penjara,  terutamanya ketika pegawai-pegawai mememtar-belitkan maklumat supaya tahanan yang seharusnya dibebaskan terus berada dalam tahanan.

Peguam PPS juga menyentuh tentang masalah memindahkan tahanan. Perjalanan untuk memindah tahanan yang sepatutnya mengambil masa hanya beberapa jam boleh berlarutan sehingga beberapa hari dan sering melibatkan penderaan fizikal dan emosi, satu masalah yang terpaksa dihadapi oleh ribuan tahanan Palestin yang kini dalam tahanan penjara Israel. (mn/IMEM)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts