Program Ramadan Bersama Huffaz Mengukuh Keimanan, Mengerat Ukhuwah

BANDAR BARU BANGI, 16 Jun 2015 (BHP) — Ramadan mengeratkan lagi hubungan orang beriman dengan Penciptanya dan sesama manusia. Melalui ibadah puasa yang disertai dengan solat terawih, tadarus al-Quran, qiamullail, pengajian ilmu agama dan seumpamanya, kita dapat membina keinsafan tentang hakikat kehidupan yang sebenar di dunia dan akhirat.

Buat tahun kelima berturut-turut, HALUAN menganjurkan program Ramadan Bersama Huffaz dari luar negara bagi meraih kebaikan untuk masyarakat Islam di Malaysia dan juga mengeratkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam. Melalui program ini, para imam yang merupakan penghafal al-Quran terpilih dari negara Palestin, Syria dan Kemboja akan bersama dalam berbagai program yang telah disusun sepanjang bulan Ramadan.

Kali ini, seramai 21 orang duta al-Quran akan bersama masyarakat Malaysia, iaitu 11 orang dari Palestin, lapan dari Syria dan dua lagi dari Kemboja. Mereka diraikan di dalam majlis serahan kepada wakil cawangan HALUAN dari seluruh Malaysia di ibu pejabat HALUAN di sini hari ini.

Selaras dengan tema program tahun ini iaitu “Generasi Al-Quran Penerus Perjuangan,” para imam ini dijadualkan memimpin solat terawih, program qiamullail, kelas pengajian al-Quran, kuliah Zuhur dan seumpamanya.

“Mereka harungi keperitan hidup dan perjuangan dengan berpegang teguh kepada panduan Al-Quran dan sunnah. Jadi kita seharusnya mengambil contoh daripada generasi ini. Mereka juga membawa mesej persaudaraan dari Palestin, Syria dan Kemboja,” kata Pengerusi Biro HALUAN Palestin, Ahmad Fisal Salleh, dalam majlis serahan tersebut. “Kita juga tidak melupakan saudara Rohingya kita, begitu juga umat Islam di Yaman, Somalia dan mereka yang hidup tertekan di mana jua.”

Untuk sebarang maklumat atau pertanyaan bagi menyusun program di tempat anda, sila hubungi pejabat operasi di talian 03 5166 0599 atau 010 537 8308 (En Mus’ab) atau emel palestin@haluan.org.my. Anda juga boleh layari laman web www.haluanpalestin.org.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts