Puluhan Tercedera Di Masjid al-Aqsa

BAITULMAQDIS, 8 Mac 2013 — Tentera rejim pengganas zionis Israel telah bertempur dengan para jemaah berhampiran Masjid al-Aqsa selepas solat Jumaat. Pasukan lengkap bersenjata itu dilaporkan menembak gas pemedih mata dan bom bunyi (stun grenade) ke arah para jemaah sehinggakan salah satu pintu masuk bahagian timur al-Aqsa terbakar.

Sekitar 20 orang ahli jemaah tercedera sementara 70 orang lagi yang berada di dalam masjid mulia itu mengalami sesak nafas. Seorang jurukamera, Atha Uwaisat, turut tercedera apabila tembakan bom bunyi terkena tepat di muka beliau.

Selepas selesai menunaikan solat Jumaat di situ, para jemaah telah mengadakan bantahan terhadap tindakan seorang pegawai tentera Israel menghina al-Quran pada hari Ahad lalu. Dalam kejadian tersebut, dua orang pelajar perempuan dari sebuah sekolah berhampiran Masjid Buraq di bersebelahan Pintu Mughrabi telah diserang dan dikejar oleh tentera zionis bagi menghalang mereka mengikuti halaqah al-Quran. Apabila pelajar-pelajar tersebut enggan mematuhi arahan supaya berhenti membaca al-Quran, pegawai tersebut menyepak dan seterusnya memijak-mijak al-Quran tersebut.

Tentera pengganas zionis dikatakan cuba menyurai bantahan tersebut dengan tembakan gas pemedih mata dan bom bunyi, menyebabkan para jemaah membalas dengan membaling batu.

Masjid al-Aqsa semakin kerap menjadi sasaran pencerobohan pelbagai pihak zionis, daripada puak pelampau Yahudi, tentera dan polis, sehinggalah pemimpin politik mereka. Tindakan yang agresif ini adalah merupakan langkah-langkah luar biasa mereka untuk menguasai Masjid al-Aqsa sepenuhnya.

Apakah penghinaan dan kebiadapan zionis terhadap Masjid al-Aqsa, kitab suci al-Quran dan saudara kita di Palestin ini belum cukup menguji kita untuk bertindak? Setiap kita mempunyai kekuatan, baik dalam bentuk doa yang berterusan, sokongan moral, sumbangan kewangan, bahkan juga memboikot setiap produk yang berkaitan dengan kejahatan zionis. Jangan lupa mendidik anak-anak dan generasi muda supaya cinta dan hidup dengan al-Quran, peduli permasalahan umat Islam serta prihatin terhadap isu Palestin dan Masjid al-Aqsa kerana merekalah generasi pewaris yang akan terus berjuang menentang kezaliman zionis.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts