KUALA LUMPUR, 30 Sep 2015 — HALUAN bersama gabungan lebih 40 buah NGO Malaysia akan mengadakan satu perhimpunan aman bagi menyatakan bantahan terhadap penodaan rejim Zionis yang semakin memuncak ke atas Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

Perhimpunan Selamatkan Al-Quds itu akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat pada 2 Oktober nanti.

Dalam satu sidang media yang diadakan di Hidayah Center Foundation di sini, hari ini, perwakilan dari berbagai NGO dan parti politik menyebut bahawa perhimpunan tersebut bertujuan untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak Kedutaan Amerika terhadap tindakan pasukan keselamatan Zionis menceroboh masuk Masjid Al-Aqsa dan menyerang para jemaah yang beribadah dan berjaga di dalamnya. Amerika merupakan penyokong setia rejim Zionis yang menyalurkan bantuan berbilion dollar setiap tahun.

Mohamad Raimi (kanan, hadapan) memberi keterangan tentang perhimpunan aman yang akan diadakan pada 2 Oktober.

Jurucakap Sekretariat Kempen Selamatkan Al-Quds, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, “Penafian hak oleh rejim Zionis ini tidak pernah berlaku sebelum ini, di mana orang Islam tidak dibenarkan masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa pada waktu-waktu tertentu untuk memberi akses kepada pelampau Yahudi.” Tindakan ini merupakan sebahagian daripada langkah mereka untuk menjayakan rancangan yahudisasi Al-Aqsa dan bumi Palestin.

HALUAN melalui Ketua Biro HALUAN Palestin, menyeru semua ahli dan relawan yang berkesempatan, terutamanya mereka yang berada di Lembah Kelang, supaya turut menzahirkan bantahan terhadap tindakan rejim Zionis serta menyatakan solidariti mereka kepada rakyat Palestin yang bertahan menentang kezaliman tersebut. “Masyarakat dari setiap lapisan, tidak kira pegangan agama, bangsa mahupun fahaman politik tidak harus membiarkan rejim Zionis terus menodai hak bangsa Palestin untuk hidup aman bebas,” kata beliau kepada Media HALUAN. “Apatah lagi dengan tindakan tentera yang membunuh penduduk Palestin yang tidak bersalah, dan juga kezaliman pelampau Yahudi membakar anak Palestin hidup-hidup. Ini suatu yang keterlaluan dan di luar batasan akal manusia yang waras.”

SHARE