Rakyat Malaysia sumbang lebih RM560 ribu untuk rakyat Palestin sepanjang Ramadhan

Program Keinsafan Ramadan Bersama Huffaz Palestin sepanjang bulan Ramadhan baru lalu telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM563,634.25. Ini jelas membuktikan bahawa rakyat Malaysia khususnya umat Islam terus komited menunaikan kewajiban mereka membantu bangsa Palestin dan perjuangan membebaskan bumi tersebut daripada kezaliman rejim Israel.

Melalui kerjasama dengan Robitah Ulama Palestin, HALUAN telah membawa 10 orang huffaz berbangsa Palestin dari beberapa daerah kem pelarian di Syria dan Jordan. Dalam program ini, para huffaz telah dihantar ke daerah-daerah terpilih di seluruh negara, di mana mereka memimpin solat tarawih berjamaah dan juga menyampaikan tazkirah dan perkembangan semasa yang berlaku di Palestin.

Program yang julung kali diadakan oleh HALUAN melalui Biro HALUAN Palestin ini jelas dapat meningkatkan rasa keterikatan umat Islam terhadap permasalahan Palestin. “Orang ramai ternanti-nanti berita rakyat Palestin, lebih-lebih lagi jika disampaikan sendiri oleh mereka yang mengharungi penderitaan akibat kekejaman Israel. Semua para huffaz ini merupakan generasi kedua dan ketiga bangsa Palestin yang diusir dari tanahair mereka apabila negara haram Israel ditubuhkan,” jelas Ustaz Abd Rahim Abd Wahab yang merupakan pengarah program ini.

Bagi pihak HALUAN Palestin, dana yang terkumpul itu melahirkan satu lagi amanah besar untuk melaksanakan projek bantuan strategik di Palestin dan kem-kem pelarian Palestin. InsyaAllah sukarelawan HALUAN akan berkunjung ke Gaza dalam masa terdekat bagi merealisaikan beberapa projek pendidikan dan kesihatan.

Semoga Allah merahmati semua tuan-puan yang pemurah dengan keberkatan dan rahmatNya, dan menjadi bekalan amal soleh yang boleh menyelamatkan kita di akhirat kelak. Semoga sumbangan dan doa tuan-puan tidak berakhir di sini, insyaAllah. HALUAN juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM) yang memberi sokongan bagi menjayakan program ini.

Imam Suhaib menerima sumbangan untuk bantuan Palestin di Melaka
Imam Suhaib (berjubah hitam) menerima sumbangan untuk bantuan Palestin di Melaka
LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts