Ramadan Buka Kesempatan Memperbetul Keadaan Umat Islam

SHAH ALAM, 18 Jun 2015 (BHP) — Ramadan mendidik orang beriman agar lebih bertakwa dan bersedia menghadapi hari akhirat dengan cara menggandakan ibadah, mengeratkan silaturahim dan menginfakkan rezeki demi kebaikan masyarakat. Dalam kesungguhan kita meraih kebaikan di bulan mulia ini, ramai umat Islam yang terus berhadapan dengan penindasan, kezaliman dan juga kemiskinan.

“Alhamdulillah, tidak terhitung nikmat Allah kepada kita. Allah akan memberi kepada orang yang meminta kepada-Nya. Tetapi sebahagian umat Islam hari ini menjauhkan diri daripada Al-Quran dan sunnah serta syariat Islam. Mereka tidak lagi menjadi satu jasad, sehingga menjadi sangat lemah,” ulas Dr Kenan As-Sawaf, seorang imam dari Syria yang turut menjayakan program Ramadhan Bersama Huffaz kali ini.

Dr Kenan As-Sawaf
Dr Kenan As-Sawaf

Beliau memimpin solat terawih berjemaah dan menyampaikan tazkirah ringkas di Sekolah Ibn Khaldun di sini malam tadi.

Doktor perubatan yang berasal dari Damaskus itu telah menghafal penuh al-Quran sejak berumur 10 tahun. Selain daripada Ijazah Perubatan, beliau juga memegang Ijazah Hafal dan Tajwid Al-Quran dengan riwayat Hafs An Asem’ mengikut kaedah Imam Shatibiyyah. Beliau juga mempunyai Ijazah Hafal dan Tajwid Al-Quran dengan kiraat 10 riwayat yang mutawatir.

Ramadan kali ini menyaksikan lebih 7,000 rakyat Palestin masih merengkok di dalam 22 buah penjara dan pusat tahanan rejim Zionis. Mereka terus disiksa, bahkan sebahagian daripadanya ditahan bertahun-tahun tanpa sebarang pengadilan.

Keluarga Palestin di Gaza, al-Quds dan Tebing Barat terpaksa bertahan dalam kepayahan dan keperitan hidup di bawah kezaliman Zionis. Gaza masih dikepung dari semua arah sejak sembilan tahun lalu. Lebih 15,000 warga Gaza yang perlu keluar, di mana lebih 1,500 daripadanya adalah atas keperluan kecemasan perubatan, terpaksa menunggu pintu Rafah dibuka tanpa sebarang kepastian.

Ketika ini juga, Masjid al-Aqsa terus berada di tangan penzalim itu.

Sejak 4 tahun yang lalu lebih 200,000 penduduk awam terkorban dalam krisis yang berlaku di Syria. Seramai 6.5 juta telah kehilangan tempat tinggal dan lebih 4 juta orang lagi terpaksa menjadi pelarian. Rumah, hospital, sekolah, bekalan elektrik dan air, pasar dan prasarana awam lain hancur musnah. Kem-kem pelarian Palestin turut musnah.

Tidak kurang juga hebatnya musibah yang melanda umat Islam di Myanmar, Mindanao, Uighur dan Xinjiang, Kashmir, Afghanistan, Somalia, Iraq, mahupun Chechnya. Malahan sebahagian umat Islam yang tinggal di negara maju terpaksa berhadapan dengan penyisihan dan tekanan.

Apabila umat Islam menjauhkan diri dari al-Quran dan syariat, mereka terus menjadi lemah sehingga tidak lagi menjadi seperti satu badan. Kesakitan penduduk Syria tidak lagi menyentuh perasaan umat Islam yang lain. Penderitaan masyarakat Rohingya tidak lagi mengusik perasaan.

Ramadan merupakan waktu yang sangat tepat untuk kita menilai semula diri, keluarga dan masyarakat untuk memperbetul arah.

“Apabila selesai hidup di mukabumi ini, setiap kita akan dinilai amalannya. Jadi kita harus kembali kepada syariat Allah SWT. Rugilah mereka yang melalui bulan Ramadan ini dengan begitu sahaja tanpa peningkatan amal soleh,” pesan Dr Kenan. “Banyakkan doa di akhir malam. Semoga seluruh umat kembali mulia memimpin manusia dengan penuh kebaikan.”

Melalui program Ramadan Bersama Huffaz, kita dapat memberi kesedaran tentang peranan masyarakat dalam memperbaiki diri dan nasib umat Islam. Program ini juga membuka peluang secara langsung kepada masyarakat untuk menghulur sumbangan bantuan.

Sumbangan ikhlas masyarakat Malaysia ini disalurkan bagi menjayakan beberapa projek bantuan berterusan, termasuklah

  1. Pembinaan hospital bedah dan pakar saraf di Rafah, selatan Gaza,
  2. Pembinaan Akademi Syar’iyah di Jabaliya, utara Gaza, di bawah kelolaan Darul Quran Wal Sunnah,
  3. Membekal peralatan dan ubat-ubatan di Pusat Rawatan Kanser Al-Huda di Al-Rimal Tal Islam, Gaza,
  4. Menaja 30 pelajar perubatan Palestin dari Gaza, Al-Quds dan Tebing Barat di beberapa universiti di Sudan,
  5. Menaja kos operasi tahfiz dan kem pengajidan al-Quran di Gaza dan kem-kem pelarian Palestin,
  6. Menaja kos sara hidup anak-anak yatim pelarian Palestin-Syria di Lubnan,
  7. Membantu kos operasi klinik perubatan untuk pelarian Syria di Sakan Karomah di sempadan Jordan,
  8. Program terapi dan memasang alat bantuan pendengaran untuk kanak-kanak Gaza, dan juga
  9. Pembinaan telaga tiub untuk masyarakat pelarian Palestin di Damaskus.

Semoga setiap sumbangan ikhlas anda mendapat ganjaran terbaik daripada Allah SWT dan seterusnya meringankan permasalah umat Islam.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts