GAZA, 13 Julai 2013 — Penguasa tentera Mesir yang merampas kuasa kerajaan Presiden Muhammad Morsi bertindak menutup ketat pintu Rafah, satu-satunya jalan keluar-masuk bagi rakyat Gaza.

Tindakan ini menyebabkan penduduk wilayah yang dikepung sejak tahun 2006 itu semakin tersempit dan menderita. Mereka bukan sahaja kekurangan bekalan keperluan asas, bahkan terpaksa berhadapan dengan harga barangan keperluan yang meningkat tinggi akibat bekalan yang sukar diperolehi. Para pesakit pula terpaksa bertahan di Gaza tanpa mendapat rawatan yang diperlukan.

Berikutan perkembangan ini, seawal hari pertama Ramadhan lagi relawan-relawan yang melaksanakan “Operasi Sembako” anjuran HALUAN Malaysia bersama Sabahat Al-Aqsha Indonesia, Radio Rodja dan Al-Sarraa Foundation bertindak cepat mengagihkan bantuan kepada masyarakat yang sangat memerlukan di Gaza. Sembako, iaitu singkatan kepada “sembilan bahan pokok” yang mengadungi beras, gula, sayuran dan buahan, daging atau ayam, minyak masak, susu, telur, minyak tanah dan garam, diagihkan kepada warga emas yang miskin, anak yatim, janda para syuhada dan tawanan dan juga mereka yang cacat anggota.

“Kalau kita berikan makanan iftar, ia hanya habis sekali makan. Insya Allah kita akan terus agihkan sembako sehingga wang yang diamanahkan habis,” kata Abu Ahmad, Pengarah Al-Sarraa Foundation yang melaporkan kepada Sahabat Al-Aqsha, sebuah rakan NGO utama HALUAN dari Indonesia.

Kerja-kerja pengagihan dilakukan sendiri oleh relawan-relawan Al-Sarraa Foundation, sebuah NGO yang ditubuhkan oleh tokoh-tokoh Robitah Ulama Palestin dan beroperasi di wilayah-wilayah yang dihuni oleh rakyat atau pelarian Palestin termasuklah di Jordan, Syria, Lubnan, Iraq, Tebing Barat dan juga Gaza.

Dalam kenyataan Ketua Biro HALUAN Palestin, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan, beliau menyeru supaya rakyat Malaysia tidak jemu membantu rakyat Palestin dan melawan kejahatan Zionis dan sekutunya. “Sebagaimana yang disebut oleh rakan-rakan kita dari Indonesia, operasi ini bukanlah misi bantuan seperti yang biasa kita lakukan. Ia adalah operasi menentang pengepungan ke atas Gaza yang sudah berlarutan selama 7 tahun,” kata beliau. “Kita akan terus berusaha dengan segala cara yang kita mampu dengan penuh ikhlas, dan kita berserah kepada Allah untuk memberi hasilnya. Semoga dengan bantuan ini rakyat Malaysia dan Indonesia turut dapat mengecapi keberkatan yang dianugerahkan Allah ke atas bumi Palestin.”

Semoga Allah membalas semua sumbangan anda dengan berlipat ganda, sesuai dengan kebaikan bulan Ramadhan ini. Sumbangan anda boleh diteruskan melalui akaun Tabung Palestin HALUAN di Bank Islam Malaysia Berhad (Nombor Akaun 14-023-01-0034292) atau Maybank Berhad (Nombor Akaun 5644-9020-8528).

SHARE