Ramadhan Bersama Huffaz 1434H : Kumpulan Pertama Huffaz Selamat Tiba

SEPANG, 3 Julai 2013 – Kumpulan pertama imam huffaz dari empat buah negara yang akan menjayakan Program Huffaz Ramadhan 1434H anjuran HALUAN Malaysia telah selamat tiba. Mereka merupakan sebahagian daripada para imam yang didatangkan dari Palestin, Syria, Somalia dan Kemboja sempena bulan Ramadhan kali ini.

Tiga orang huffaz dari Gaza iaitu Syeikh Muhammad Al-Khillu, Syeikh Hamzah Zeino dan Syeikh Muhammad Ramadhan Al-Holou merupakan kumpulan pertama yang tiba awal pagi tadi. Manakala para imam yang lainnya dijangka tiba sebelum hujung minggu ini.

Menurut pengarah program, Ahmad Shahabudin Abu Bakar, HALUAN Malaysia mengambil pendekatan seperti tahun-tahun lalu dengan mengundang para imam huffaz dari beberapa negara selain Palestin di mana umat Islam sedang berhadapan dengan krisis, terutamanya di Syria. “Selain daripada dapat menimba pengalaman bersolat terawih dengan pelbagai kaedah bacaan al-Quran yang bersanad, kita juga akan berpeluang mendengar perkongsian maklumat atau pengalaman tentang kemelut yang sedang melanda saudara-saudara kita Syria, Palestin, Somalia dan juga Kemboja,” jelas beliau.

Semua huffaz dijadualkan menjadi imam solat terawih di masjid atau surau terpilih di seluruh negara. Selain itu, mereka juga akan memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia melalui sesi kuliah dan pengajian al-Quran. “Kita masih membuka peluang kepada mana-mana masjid, surau, pejabat, kilang atau apa jua institusi yang berkenaan, untuk merebut peluang ini samada untuk sesi solat terawih, kuliah-kuliah subuh, dhuha dan zuhur ataupun kuliah-kuliah umum,” kata Ahmad Shahabudin. Menurut beliau lagi, HALUAN sendiri akan menyediakan penterjemah untuk tujuan itu.”Di samping itu, kita juga mengadakan kutipan derma di lokasi-lokasi berkenaan bagi membantu umat Islam di negara yang sangat memerlukannya,” kata beliau lagi.

Sebarang pertanyaan tentang program ini boleh diajukan ke Pejabat Biro HALUAN Palestin di talian 03 7831 5741 atau melalui Umar Ismail di talian 012 247 9351.

HALUAN juga menyeru rakyat Malaysia supaya mengambil kesempatan di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan projek-projek bantuan kemanusiaan dan pembangunan jangka panjang. Mereka yang ingin membantu rakyat Palestin boleh menyalurkannya melalui akaun Tabung Palestin HALUAN di Bank Islam Malaysia Berhad (Nombor Akaun 14-023-01-0034292) atau Maybank Berhad (Nombor Akaun 5644-9020-8528).

Manakala bantuan untuk rakyat Syria, Somalia dan Kemboja boleh disalurkan melalui akaun Tabung Kemanusiaan dan Kebajikan HALUAN di Maybank Berhad (Nombor Akaun 5622-6350-2611).

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts