Rejim Zionis akan bina 2,500 rumah penempatan haram baharu di Beit Lahm

NAZARETH, 1 Jan 2019 — Rejim Zionis akan bina 2,500 unit rumah baharu di atas tanah penduduk Palestin berdekatan kawasan penempatan haram Efrat di Beit Lahm.

Menurut pertubuhan hak asasi Peace Now, pembinaan di bawah Projek E2 itu akan menghalang sebarang pembinaan lain di Beit Lahm. Projek E2 mempunyai banyak persamaan dengan Projek E1 yang bertujuan memisahkan Baitulmaqdis dari seluruh wilayah Tebing Barat.

Laporan Jerusalem Post semalam, pendatang Yahudi dari Efrat mendesak pembinaan projek penempatan baharu di kawasan Khillat al-Nahla, yang mereka gelar sebagai Givat HaEitam, di Beit Lahm selepas seorang rakan mereka ditikam sehingga mati pada bulan September lalu.

Pihak pentadbiran Zionis telah membenarkan pendatang Yahudi membina kemudahan pertanian di atas tanah terbabit. Pada 26 Disember, mereka mengumumkan rancangan pembinaan rumah-rumah banaru di atas tanah milik penduduk Palestin seluas lebih 118 hektar.

Pada tahun 2009, rejim Zionis merampas kira-kira 170 hektar tanah penduduk Palestin di utara Beit Lahm sebagai persediaan menyerapkannya ke dalam kawasan penempatan haram Efrat. Rampasan tersebut bertujuan memberi laluan kepada pembinaan 2,500 buah rumah di Efrat, setelah mendapat kelulusan pihak rejim.

Efrat merupakan sebahagian daripada blok penempatan haram Gush Etzion, yang akan dijadikan sempadan akhir sebarang persetujuan akhir dengan Palestin. Lebih 9,000 pendatang Yahudi tinggal di Efrat.

Perkembangan mendadak projek tersebut dilihat sebagai langkah pemimpin Zionis, Benjamin Netanyahu, untuk meraih sokongan pelampau Yahudi dalam pilihanraya akan datang.

(PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts