Rejim Zionis Akan Bina Bangunan Tinggi Di Tembok Ratapan

AL-QUDS, 12 Ogos 2015 (Maan) — Pihak berkuasa rejim Zionis merancang untuk membina sebuah bangunan tinggi di kawasan plaza Tembok Ratapan di Kota Lama Al-Quds.

Seorang profesor perancangan bandar di Universiti Birzeit, Dr Jamal Amr, berkata bahawa bangunan setinggi enam tingkat itu akan dijadikan sebagai mercu tanda kepada warisan Kuil Yahudi dan turut menempatkan sebuah muzium, ruang upacara ritual Yahudi dan ruang pejabat bagi pertubuhan-pertubuhan pelampau Yahudi. Dr Jamal yang juga merupakan seorang ahli Yayasan Al-Quds menyebut bahawa pertubuhan-pertubuhan tersebut mendanai pembinaan dengan kerjasama rejim Zionis.

Pelan induk bangunan tersebut disiapkan secara rahsia dan hanya didedahkan apabila pemimpin-pemimpin mereka mula membuat permohonan untuk kebenaran pembinaan.

Bangunan setinggi 23 meter itu dianggarkan menelan belanja sebanyak US$13juta dan meliputi keluasan 1,400 meter persegi. Dua daripada enam tingkat bangunan akan berada di bawah tanah.

Menurut Dr Jamal lagi, bangunan yang akan menempat sebuah muzium itu bakal memuatkan penemuan antik yang dicuri dari Al-Quds, yang kebanyakannya berasal dari era Abbasiyah dan Umayyah, iaitu sekitar tahun 660 hingga 1260 Masihi.

Bangunan tersebut juga akan dihubungi dengan beberapa jaringan terowong bawah tanah di bawah Kota Lama hingga ke kejiranan Silwan di Al-Quds Timur.

Zionis sebelum ini sudah membuat penggalian dan terowong sehingga merosakkan serta merobohkan tinggalan sejarah Palestin, dan mengancam bangunan milik penduduk Palestin di atasnya. Pembinaan kompleks bangunan baharu ini akan semakin melenyapkan identiti Arab dan ciri-ciri Islam di Kota Lama.

Yahudi percaya bahawa Tembok Ratapan merupakan tinggalan terakhir Kuil Kedua yang telah dimusnahkan oleh tenetra Roman. Ia menjadi sempadan kepada perkarangan Masjid Al-Aqsa Al-Mubarak.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts