Rejim Zionis Rampas Lebih 978 Hektar Tanah Palestin Sepanjang 2017

RAMALLAH, 1 Jan 2018 — Statistik Pusat Kajian Tanah (LRC) hari ini mendedahkan bahawa rejim Zionis telah merampas tanah seluas 9,784 dunum (978.4 hektar) di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sepanjang tahun 2017.

Dalam tempoh yang sama, rejim Zionis turut memusnahkan kira-kira 500 bangunan atau struktur binaan milik penduduk Palestin serta mengeluarkan notis perobohan ke atas 855 yang lain. Sebanyak lapan pos penempatan haram baharu telah dibina, di samping membina 3,122 unit rumah dan meluaskan kawasan 60 penempatan haram.

Berkenaan serangan di Baitulmaqdis, sebanyak 900 serangan telah dilakukan ke atas para jemaah Masjid al-Aqsa.

Kenyataan LRC menambah bahawa pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibukota negara haram Zionis oleh Presiden Amerika Donald Trump telah menggalakkan pelampau Yahudi berusaha menyerap masuk Kawasan C, iaitu 61% daripada keluasan Tebing Barat, sebagai wilayah negara haram Zionis itu. Tindakan tersebut akan menjadikan Kawasan A dan B di Tebing Barat sebagai daerah terpisah-pisah tanpa sebarang undang-undang.

Perjanjian Oslo II di Sinai pada tahun 1995 membahagikan Tebing Barat kepada tiga kawasan – A, B dan C.

Pembahagian Kawasan A, B dan C di Tebing Barat.

Kawasan A meliputi hanya 18% daripada keluasan Tebing Barat dan ditadbir sepenuhnya oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA). Lapan kota besar Palestin terletak dalam Kawasan A, iaitu Nablus, Jenin, Tulkarem, Qalqilya, Ramallah, Beit Lahm, Jericho dan 80% daripada al-Khalil. Penduduk Yahudi tidak dibenarkan memasuki kawasan ini. Bagaimanapun tentera Zionis telah menghapuskan pengharaman ke atas mereka memasuki Kawasan A untuk operasi memburu penduduk Palestin.

Papan tanda melarang penduduk Yahudi memasuki Kawasan A – “Laluan ini menuju ke Kawasan A di bawah kawalan Pihak Berkuasa Palestin. Kemasukan penduduk Yahudi ke Kawasan A adalah dilarang, merbahaya dan satu kesalahan jenayah.

Manakala Kawasan B iaitu 22% daripada Tebing Barat ditadbir oleh PA tetapi ehwal keselamatan dikawal oleh tentera Zionis. Sekitar 440 perkampungan Palestin terletak dalam kawasan ini, namun tidak ada sebarang penempatan haram Yahudi.

Kawasan C yang meliputi baki keluasan Tebing Barat, termasuk kawasan penempatan haram di Baitulmaqdis Timur, dikawal sepenuhnya oleh tentera Zionis.

Majlis Keselamatan PBB pada 23 Disember 2016 menerima pakai deraf resolusi supaya rejim Zionis menghentikan pembinaan penempatan haram.

(PIC, MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts