Rejim Zionis rancang bina 5,000 rumah baharu untuk pendatang Yahudi

BAITULMAQDIS, 31 Mac 2019 — Rejim Zionis merancang untuk membina kira-kira 5,000 rumah baharu untuk pendatang Yahudi di Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

Pembinaan 1,427 buah rumah bakal diluluskan oleh pemimpin-pemimpin kanan politik Zionis minggu ini. Ia merupakan peringkat akhir kelulusan rejim, sebelum tender bagi pembinaan 3,500 lagi rumah untuk pendatang Yahudi dikeluarkan tidak lama lagi.

Hampir 1,000 buah rumah akan dibina di Betar Ilit, 1,000 di Efrat, 343 di Elkana, 750 di Ma’aleh Adumim, 323 di Kfar Adumim, 263 di Karnei Shomron, 250 di Harsha, 176 di Givat Ze’ev, 165 di Shilo, 107 di Elon Moreh, 73 di Ariel, 40 di Pedu’el, 64 di Oranit, 38 di Nokdim, 32 di Beit Aryeh, dan 27 lagi di Klalim.

Dua minggu lalu, media Zionis melaporkan bahawa Kementerian Pembinaan dan Perumahan bakal meluluskan ratusan buah rumah baharu untuk pendatang Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis. Sebahagian daripadanya akan dibina di luar kawasan penempatan haram.

Lebih 700 unit rumah akan di bina di kawasan kejiranan Pisgat Ze’ev dan Ramot di Baitulmaqdis Timur, diluar kawasan Garisan Hijau (garis sempadan yang dipersetujui dalam Perjanjian Armistice 1949). 260 buah lagi akan dipasarkan di Alfei Menashe, Emanuel dan Adam.

Di samping itu, sebahagian daripada apartmen akan dibina di kawasan Beit Arye dan Ma’aleh Ephraim yang terletak di luar blok-blok penempatan haram Yahudi.

Terdapat 196 kawasan penempatan haram Yahudi yang diiktiraf oleh rejim Zionis di Tebing Barat.

(PIC, Maan, IMEMC, PNN)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts