GURUN NAQAB, 4 Mac 2019 — Pihak perbandaran Zionis pagi tadi meroboh semua rumah dan khemah masyarakat Badwi Palestin di perkampungan al-Araqib, buat kali ke-142 sejak tahun 2010.

Pasukan polis mengiringi pekerja-pekerja perbandaran menyerbu al-Araqeb dan meroboh serta membuang semua rumah-rumah yang dibina dengan kepingan zink serta khemah-khemah. Semua penduduk termasuk kanak-kanak dan warga emas sekali lagi kehilangan tempat berteduh sementara menunggu untuk membina semula tempat tinggal mereka.

Al-Araqeb merupakan salah satu daripada 43 perkampungan Badwi di Gurun Naqab yang tidak diiktiraf oleh rejim Zionis, walaupun penduduknya diterima sebagai warganegara. Semua rumah dan struktur di situ tidak diberi permit pembinaan, dan penduduk hidup tanpa sebarang kemudahan asas serta pendidikan.

Rejim Zionis merancang untuk menghalau masyarakat Badwi berpindah ke kawasan lain, untuk memberi laluan kepada pembinaan bandar khusus untuk pendatang Yahudi.

(PIC, Maan, MEMO)

SHARE