Sabra Dan Shatila Bukti Kekejaman Tanpa Batas Rejim Zionis

BANDAR BARU BANGI, 16 September 2015 (BHP) — Hari ini mengingatkan kita kepada peristwa pembantaian ke atas pelarian Palestin di kem Sabra dan Shatila di Lubnan 33 tahun lalu. Kekejaman di bawah pimpinan Menteri Pertahanan rejim Zionis ketika itu, Ariel Sharon, dan ketua stafnya, Rafael Etan, berlangsung selama tiga hari dari 16hb hingga 18hb September 1982.

Di tengah-tengah kekecohan perang saudara dan beberapa bulan selepas tentera Zionis menceroboh Lubnan, tentera Zionis mengepung Sabra dan Shatila lalu membiarkan kumpulan militan Kristian Maronit Lubnan yang dipimpin kaum Falangis membantai pelarian Palestin di dalamnya. Laporan menyatakan dari 3,500 hingga 8,000 orang, termasuk kanak-kanak, bayi, wanita, dan orang tua dibantai dan dibunuh secara mengerikan.

Pembantaian tersebut menyusuli insiden pembunuhan pempimpin Falangis, Bashir Gemayel. Justeru amat mudah untuk menunding jari kepada pejuang Palestin ke atas pembunuhan pemimpin mereka, seterusnya melakukan pembantaian ke atas kem Sabra dan Shatila sebagai serangan balas, bersama dengan bantuan tentera Zionis yang menceroboh Lubnan untuk menyerang pejuang Palestin serta semua yang menyokong perjuangan Organisasi Pembebasan Palestin (PLO.)

Sabra adalah sebuah kawasan miskin di barat Beirut di Lubnan, yang terletak bersebelahan dengan kem pelarian UNRWA (Badan PBB untuk Pelarian Palestin) Shatila yang dibina untuk menempatkan pelarian Palestin pada tahun 1949. Selama bertahun-tahun penduduk dari kedua-dua kawasan ini bergaul dan menjadi semakin bercampur, sehingga biasa disebut sebagai Kem Sabra-Shatila.

PLO menggunakan selatan Lubnan sebagai pengkalan untuk mereka menyerang negara haram Zionis, sehingga tentera Zionis mendakwa bahawa pembantaian itu kononnya untuk mencari 1,500 pejuang PLO yang dikatakan berada di kem Sabra-Shatila. Sedangkan kumpulan PLO itu sedang berada di tempat lain, menjadikan senario pencarian anggota PLO hanyalah cerita rekaan rejim Zionis. Sebenarnya sebagian besar yang berada di kem pelarian ketika berlakunya pembantaian adalah wanita, orang tua dan kanak-kanak.

Setelah tamatnya peristiwa pembantaian tersebut, Mahkamah Agung Zionis membentuk Suruhanjaya Cahan untuk menyelidik insiden kekejaman terhadap ribuan pelarian tersebut. Pada tahun 1983, Suruhanjaya Cahan mengumumkan hasil “penyelidikan” mereka dan memutuskan bahawa Sharon “tidak langsung bertanggung jawab” terhadap apa yang telah berlaku. Maka Sharon pun melanjutkan kerjaya politiknya, sehingga menjadi Perdana Menteri rejim Zionis dan memegang berbagai jawatan penting sehingga dia menderita serangan angin ahmar pada 4hb Januari 2006, lalu berada dalam keadaan koma sehingga mati pada 11hb Januari 2014.

Pembantaian Sabra-Shatila bukanlah yang pertama, bukan juga yang terakhir dilakukan tentara Zionis. Mereka melakukan banyak pembantaian dan kemusnahan, kezaliman tanpa batas di tempat-tempat yang berbeza, di antaranya Gaza, Deir Yassin, Qibya, Tantour, Jenin, Al-Quds, Hebron, dan lainnya.

Hingga kini tidak pernah ada seorang pun pemimpin, komandan atau tentera Zionis yang secara resmi bertanggung jawab atas kejahatan dan pembantaian terhadap rakyat Palestin.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts