Sangat sukar untuk masuk ke Gaza

Haji Noorazman Mohd Samsuddin
Menulis dari Rafah
19 Februari 2009

 

 

Alhamdulillah misi kami berjalan seperti yang dirancang walaupun kami masih lagi tidak dapat memasuki Gaza. Banyak urusan dan perancangan dapat dilaksanakan seperti yang dirancang. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, misi pasukan kami kali ini adalah untuk menyerahkan sebahagian daripada wang sumbangan kepada warga Gaza, dan seterusnya merancang bersama-sama badan-badan sukarela dan kerajaan di Gaza untuk tujuan bantuan jangkamasa panjang.
 
Sehingga ke hari ini, pintu masuk ke Gaza melalui Rafah masih ditutup rapat. Agak mendukacitakan, sikap pihak berkuasa di Mesir masih meneruskan polisi yang berdolak-dalik bagi menghalang kemasukan pasukan bantuan ke Gaza. Saya kira keadaan ini akan berterusan sehingga 3 ke 4 minggu akan datang, apabila kerajaan baru rejim haram Israel dibentuk dan berlakunya rundingan tiga pihak Mesir-Hamas-Israel. Itupun kalau terjadi.
 
Walaupun masih gagal untuk memasuki Gaza, kami dapat membuat perancangan jangkamasa panjang bersama badan-badan di sana, seperti Arab Medical Union (AMU,) Red Crescent dan Kementerian Dalam Negeri Palestin di Gaza. Antara projek yang dikenal-pasti adalah perlaksanaan klinik bergerak di Gaza, pengurusan rumah anak yatim dan pembinaan rumah kalis peluru. Kami juga membuat peninjauan tentang keperluan untuk menempatkan relawan medik di kem-kem pelarian.
 
Sementara itu Agensi Berita Ramattan melaporkan jet-jet pejuang Israel melancarkan sekurang-kurangnya tiga serangan udara ke atas bandar Rafah di selatan Gaza pada hari Khamis 19 Februari. Serangan dikatakan membuat sasaran kepada terowong-terowong di sekitar sempadan Gaza-Mesir. Sehari sebelum itu, tentera Zionis melancarkan kira-kira lapan serangan ke atas pos-pos keselamatan dan terowong di kawasan berkenaan.
 
Israel meningkatkan serangan sementara menunggu kabinetnya memutuskan untuk tidak menghentikan sekatan ke atas Gaza sehinggalah Hamas bersetuju untuk membebaskan seorang tentera Zionis yang ditawan lebih dua tahun lalu, Gilad Shalit.
 
Manakala di Tebing Barat semalam, tentera Zionis telah menangkap 10 orang warga Palestin di bandar Nablus, Ramallah dan Hebron. Sejak tiga hari lepas, seramai 69 rakyat Palestin ditangkap. Terdapat lebih 11,000 orang tahanan rakyat Palestin dipenjarakan oleh rejim Zionis, termasuk kanak-kanak, wanita dan ahli parlimen.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts