Ringkasan

Sekretariat HALUAN Palestin sampaikan sumbangan orang ramai kepada wakil Kerajaan Palestin Gaza

Ustaz Mohd Darus menyampaikan replika cek sumbangan kepada Dr Sami
Ustaz Mohd Darus Senawi (kanan) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Dr Sami Abu Zuhri (tengah)

KUALA LUMPUR, Khamis 12 Februari (HP) – Sekretariat HALUAN Palestin telah menyampaikan sumbangan hasil kutipan orang ramai kepada wakil Kerajaan Palestin Gaza, Dr Sami Abu Zuhri. Dr Sami Abu Zuhri, seorang jurucakap kanan kerajaan Palestin, adalah dalam rangka lawatan ke Malaysia untuk menyampaikan syarahan menjelaskan perjuangan Palestin menentang kezaliman rejim Zionis Israel dan kejadian sebenar yang berlaku di Gaza.

Dr Sami adalah merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Palestin yang turut diranapkan dalam serangan oleh tentera Zionis Januari lalu. Beliau menjalankan kajian dalam bidang sejarah tentang pejuang agung Sultan Salahuddin al-Ayyubi.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah diadakan di Hotel Putra, Kuala Lumpur. Sumbangan sebanyak RM100,000 telah disampaikan kepada Dr Sami oleh Penasihat Sekretariat HALUAN Palestin yang juga merupakan Timbalan Presiden HALUAN, Ustaz Mohd Darus Senawi. Turut hadir di majlis tersebut adalah Pengerusi Sekretariat HALUAN Palestin, Haji Noorazman Mohd Samsuddin dan beberapa orang lagi aktivis HALUAN.

Terdahulu dalam ucaptamanya, Dr Sami menjelaskan bahawa pejuang Palestin di Gaza sebenarnya telah mencapai kemenangan besar dalam mematahkan serangan Zionis Israel Januari lalu, sehinggakan tentera Zionis yang lengkap dengan senjata termoden itu terpaksa berundur pulang ke negara haram mereka. Sedangkan tentera Zionis telah menggunakan segala kekuatan ketenteraan yang mereka ada untuk menentang penduduk awam dari kalangan wanita dan kanak-kanak Gaza yang tidak bersenjata.

Dalam majlis sumbangan dana oleh beberapa badan dan orang perseorangan tersebut, Dr Sami melahirkan rasa terharu atas keprihatinan rakyat Malaysia. ”Kami terharu dengan sokongan yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk yang bukan Islam yang menyumbangkan dana dan membantu meringankan penderitaan penduduk Palestin,” kata Dr Sami melalui seorang penterjemah Bahasa Arab. ”Semoga Allah menerima jasabaik sumbangan anda,” sambung beliau lagi.

Ketika bercakap kepada sidang media, Dr Sami turut mengingatkan para dermawan supaya menyampaikan sumbangan kepada pihak yang beramanah dan bertanggungjawab. ”Kami seru supaya serahkan dana kepada agensi yang beramanah dan bertanggungjawab atau anda datang terus ke Gaza, untuk sampaikan sendiri kepada penduduk di sana,” nasihat beliau. Terdapat kes di mana sumbangan ikhlas dermawan disampaikan melalui pihak yang tidak betul sehinggakan dana tersebut tidak sampai kepada penduduk Palestin.

Dalam pada itu, Pengerusi Sekretariat HALUAN Palestin sangat menghargai sumbangan ikhlas orang ramai yang menaruh kepercayaan kepada HALUAN. ”Jumlah sumbangan yang kita sampaikan melalui Dr Sami merupakan sebahagian daripada dana yang terkumpul. InsyaAllah HALUAN akan menghantar pasukan relawan ke Gaza pada minggu depan untuk menyampaikan sendiri sebahagian lagi daripada sumbangan orang ramai. Selain daripada menyampaikan amanah dana orang ramai kepada rakyat Palestin di Gaza, pasukan tersebut juga akan merangka strategi dan langkah-langkah praktikal yang mampu HALUAN berikan sebagai penyelesaian jangkamasa panjang membantu rakyat Palestin,” terang Haji Noorazman. Difahamkan beliau sendiri akan mengetuai misi kemanusiaan ke Gaza tersebut.

HALUAN mengucapkan setinggi tahniah kepada setiap penyumbang Tabung Palestin HALUAN. Kami terharu dengan keprihatinan anda semua, baik murid sekolah, jamaah di surau dan masjid, mahupun pegawai-pegawai di syarikat swasta. Kami juga dapati ramai dermawan yang menyampaikan sumbangan secara terus ke akaun bank tanpa memperkenalkan diri mereka. Kami hanya mampu mendoakan agar Allah menerima semua infaq anda dengan penuh redha.

Teruskanlah usaha anda membantu perjuangan membebaskan Palestin, bumi waqaf milik semua kita orang yang beriman. Sebagaimana diterangkan oleh Abu Husam, iaitu rakan pengiring kepada Dr Sami, ”Anda mempunyai peranan yang besar. Pertamanya gunakanlah suara anda, nyatakan sikap dan fakta yang betul berkenaan perjuangan di Palestin. Juga, hulurkanlah doa terutamanya di waktu malam. Doa adalah senjata untuk orang Mukmin. Kemudiannya, sumbangkanlah sedikit dari harta anda. Gaza memerlukan wang yang banyak untuk dibangunkan semula.”

Sekretariat HALUAN Palestin bersedia membantu untuk menyampaikan ceramah-ceramah kesedaran di tempat anda. Sila hubungi Encik Jailani Yusoff di talian 019 260 2546 atau terus ke pejabat Sekretariat HALUAN Palestin di talian 03 7846 4146. Anda juga boleh emelkan maklumat ke palestin@haluan.org.my.

[email_link]          [print_link]

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts