GENEVA, 31 Mei 2017 (Euro-Med) — Kenyataan media Euro-Mediterranean Human Rights Monitor menyebut bahawa sektor kesihatan di Gaza bertambah buruk secara ketara sejak enam bulan lalu kerana sekatan yang berterusan.
Kekurangan bekalan ubat dan peralatan perubatan yang serius mengancam nyawa lebih dua juta penduduk wilayah yang terkepung itu, dan tindakan segera perlu diambil bagi membantu mereka.
Sebanyak 170 jenis ubat kini habis sama sekali. Angka tersebut merupakan 33% daripada jumlah keseluruhan yang diperlukan oleh penduduk Gaza, termasuk 37 dari 67 jenis ubat merawat barah. Mengeruhkan lagi keadaan, hospital-hospital di Gaza kekurangan bekalan 260 jenis peralatan perubatan yang penting.
Masalah bekalan elektrik dan minyak turut mengancam sektor tersebut, di mana hospital terpaksa bergantung kepada bekalan elektrik dengan menggunakan jenerator. Hospital-hospital Gaza memerlukan sehingga 450,000 liter minyak setiap bulan untuk operasi jenerator.
Akibatnya, ramai pesakit yang terpaksa menunggu hingga hampir setahun untuk mendapatkan rawatan atau menjalani pembedahan. Pada masa yang sama, mereka tidak dibenarkan melintas sempadan untuk mendapatkan rawatan di luar Gaza.