Sektor Pendidikan

Madrasah Islamiyah Deiril Balah

Pada tahun 2012, Kementerian Wakaf dan Urusan Agama Palestin melalui persetujuan pejabat Perdana Menteri Palestin telah memberi amanah kepada rakyat Malaysia dan Indonesia bagi membantu pembinaan sebuah sekolah rendah syar’iah untuk keperluan anak-anak pelarian Palestin di Kem Pelarian Deir al Balah, tengah Gaza.

Melalui kerjasama HALUAN Malaysia dan Sahabat al-Aqsha Indonesia, persepakatan telah dicapai untuk membina sekolah tersebut di atas sebidang tanah milik Kementerian Wakaf dan Urusan Agama Palestin seluas 3,000 meter persegi. Perlaksanaan projek ini adalah di bawah pemantauan Kementerian Wakaf dan Urusan Agama Palestin.

Sekolah yang akan dinamakan sebagai “Madrasah Islamiyah Malaysia-Indonesia” itu bakal memberi peluang pendidikan kepada seramai 800 orang pelajar pada satu-satu sesi. Ia dijangka mula beroperasi pada tahun 2014.

Pada 26 Mei 2013 Menteri Wakaf dan Urusan Agama Palestin, Dr Ismail Ridwan, telah merasmikan upacara meletak batu asas projek ini.

Sehingga kini, sebanyak US$100,000 telah disalurkan oleh HALUAN untuk tujuan pembinaan bangunan.
Akibat embargo yang semakin menekan berikutan krisis politik Mesir, harga bahan-bahan binaan melambung tinggi dan menyebabkan kos pembinaannya meningkat.
Tajaan Pelajar Perubatan Palestin di Sudan

Pada akhir tahun 2011, seramai 60 pelajar perubatan dari Palestin yang menuntut di beberapa universiti di Sudan memerlukan bantuan sara hidup bagi menampung keperluan untuk membeli buku dan peralatan belajar, membayar sewa penginapan, perbelanjaan makan dan pengangkutan.

Semua yuran pengajian mereka ditanggung oleh kerajaan Sudan tetapi mereka tidak mendapat sokongan mana-mana pihak untuk menampung keperluan perbelanjaan lain.

HALUAN Malaysia telah bersetuju untuk menyara keperluan 30 orang daripada mereka dengan kadar biayaan sebanyak US$100 setiap bulan bagi seorang pelajar. Bantuan ini akan menjadi komitmen tahunan ke atas setiap pelajar terbabit sehinggalah mereka tamat pengajian dan pulang berkhidmat di Palestin.

Pelajar-pelajar yang terpilih sedang menuntut di tahun pengajian yang berbeza-beza, dari tahun dua sehinggalah tahun enam.

Bantuan telah mula disalurkan sejak awal sesi pengajian tahun 2012, dengan sejumlah US$36,000 diagihkan untuk tahun tersebut. Bagi sesi pengajian tahun 2013, HALUAN juga telah menyalurkan sejumlah US$36,000.
Dana Program Tahfiz al-Quran di Markaz Ibda’, Masjid Umari Al-Kabir

Gaza melahirkan ribuan penghafal al-Quran dari kalangan kanak-kanak setiap tahun. Sebagai menyokong sektor pendidikan al-Quran untuk anak-anak Gaza, HALUAN telah menyalurkan sebanyak US$16,130 kepada pihak pengurusan Maahad Tahfiz al-Quran di Masjid Umari al-Kabir di al-Daraj, Gaza pada bulan April 2013.

Dana tersebut digunakan untuk menampung kos pengurusan program kem pendidikan dan hafalan serta kebajikan pelajar.