Kini, laungan promosi buat Second Flotilla di bawah Lifeline4Gaza telah bermula dan disemarakkan. Bagi yang masih ingat akan peristiwa hitam 31hb Mei 2010 tahun lalu, yang menunjukkan pelayaran ke Gaza untuk memberikan bantuan melalui laut telah dihadang oleh tentera regim Zionis Israel, hingga membuka mata dunia akan isu Palestin, dan kekejaman Israel.

Kini, Flotilla yang sama ingin dilaksanakan semula. Kali ke-dua.

Ada yang akan berfikir dan merasa:

“Buat apa buat lagi? Bukannya Palestin tu nak terbebas pun kalau buat benda-benda macam ini. Lainlah kalau hantar tentera. Pergi serang Israel. Ini hantar bantuan makanan. Nanti kalau Israel serang lagi macam mana? Kan sia-sia?”

Saya tersenyum. Kerana saya faham, itulah mentaliti kebanyakan orang. Yang akhirnya akan membawa kepada ayat berikut:

“Tak naklah bantu. Sia-sia. Nanti Israel rampas, rugi je kita sumbang itu semua.”

Tahukah kita, mengapa mereka yang berusaha menjayakan Second Flotilla ini, tetap mengusahakannya walaupun telah berlaku tragedi hitam pada tahun yang lalu?

Maka di sinilah kita ingin berbincang. Mengubah mentaliti kita.

Apa gunanya berjuang, kalau memang pasti kalah?

313 melawan 1000. Bilangan orang islam yang melawan bilangan kaum Musyrikin Makkah.

700 melawan 3000. Bilangan orang Islam yang melawan bilangan kaum Musyrikin Makkah.

3000 melawan 10,000. Bilangan orang Islam yang melawan bilangan Kumpulan Al-Ahzab(gabungan Kaum Musyrikin Makkah, Bani Ghatfan dll)

Ya. Kita lihat sahaja bilangan tersebut, kita pada awalnya menjangka yang orang Islam akan dibantai teruk. Ditambah pula, sebagaimana yang kita amat arif, orang islam ketika itu belum mempunyai kekuatan wang yang setanding, membuatkan mereka ini kekurangan logistik peperangan, berbanding kaum kuffar.

Tetapi, kekurangan itu tidak pula menghentikan Rasulullah SAW untuk meneruskan perjuangan.

Mengapa?

Kerana pada usaha itu ada ganjaranNya.

Kerana pada usaha itu ada ganjaranNya. Itulah dia jawapannya.

Baginda Rasulullah SAW, tetap meneruskan perjuangan walaupun dalam kondisi yang jika dilihat agak disadvantage. Ada peperangan baginda menang seperti Badar dan Khandak, ada pula yang hanya menang moral sahaja tetapi zahirnya tewas seperti di Medan Uhud. Ada pula yang tenteranya terpaksa berundur seperti dalam Peperangan Mu’tah.

Itu belum dikira dengan usaha-usaha dakwahnya yang sering mendapat tentangan dan ancaman. Sekali pandang, memang agak mustahil untuk Rasulullah SAW berjaya. Angka yang asalnya sedikit. Harta yang asalnya tidak banyak. Musuh yang asalnya terlalu ramai.

Tetapi baginda tidak menghentikan usaha-usahanya.

Apa yang ada, itulah yang diusahakan baginda.

Berterusan. Istiqomah. Tanpa lelah. Tanpa merungut. Tanpa mengeluh. Terus menerus.

Dan akhirnya

Dan akhirnya termaktublah di dalam sejarah.

Bagaimana Rasulullah SAW berjaya di dalam usahanya. Bagaimana baginda akhirnya melahirkan satu generasi yang hebat dan disegani semua. Hingga akhirnya Islam itu memegang 2/3 dunia.

Ya. Itulah hasil usaha. Walaupun pada asalnya nampak mustahil. Walaupun pada asalnya nampak tidak boleh. Berdakwah hatta pada ahli keluarga sendiri di Makkah, diri dipulau. Berdakwah pula di Taif, diri dibaling batu hingga luka. Tetapi siapa yang menyangka, usaha yang berterusan membawa kepada kemenangan?

Ya. Pokoknya usaha.

Flotilla, bukankah itu satu usaha?

Samalah seperti kita hari ini.

Benar kita belum ada ketenteraan sekuat Israel. Benar kita mungkin akan diancam, mungkin bantuan yang kita hantar akan dirampas. Benar, kita menghadapi semua kemungkinan tersebut, kerana hari ini kita amat kerdil hendak dibandingkan dengan Israel.

Tetapi apakah itu alasannya untuk tidak meneruskan usaha yang kita mampu?

Setakat ini, sehingga hari ini, kita mampu mengusahakan flotilla, maka flotilla yang kita usahakan. Sampai hari nanti, bila kita mampu pula mengusahakan sesuatu yang lebih, kita akan usahakan sesuatu yang lebih pula. Tetapi, berbicara akan hari ini, maka kita laksanakan apa yang kita mampu hari ini. Kita tidak menunggu sehingga hari esok untuk berusaha. Kita berusaha semampu apa yang kita mampu.

Ganjaran Allah, tiada siapa yang mengetahui

Tiada siapa mampu melihat ganjaran Allah di balik usaha.

Seperti flotilla yang pertama yang lepas, siapa menjangka di balik usaha pelayaran tersebut, Allah susun tentera Israel menyerbu menganggu pelayaran. Dan, siapakah yang menjangka, dengan susunan Allah yang Maha Cantik itulah, dunia terjaga daripada lena dan kembali melihat isu Palestin sebagai isu utama.

Maka pada tahun ini, sekali lagi usaha yang sama, dan pastinya diusahakan agar lebih berkualiti dan lebih baik, dijalankan. Siapa yang mampu mengetahui kali ini, apakah pula yang Allah susunkan?

Tetapi yang penting, kita tahu natijah itu di tangan Allah. Maka apakah natijahnya, bukan kerja kita untuk sibuk-sibuk akannya. Yang perlu kita sibuk-sibukkan adalah usaha. Usaha semampu kita.

Dan apakah kita mahu tertinggal daripada kafilah yang berjuang untuk ummah ini?

Penutup: Hatta dalam keadaan mustahil juga, usaha tetap perlu.

Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa Yusuf AS tetap berlari menjauhi Zulaikha, walaupun dia tahu bahawa pintu bilik ketika itu telah terkunci?

Kerana usaha itu akan menjadi saksi di hadapan Allah SWT kelak.

Begitulah usaha Second Flotilla ini.

Walaupun mungkin Palestin tidak terbebas hanya dengan pelayaran ini, tetapi inilah yang mampu diusahakan, maka inilah yang diusahakan. Agar usaha ini menjadi saksi nanti di hadapan Allah SWT.

Lihatlah indahnya usaha, apabila Rasulullah SAW bersabda:

”Jika hari Kiamat datang, dan di tangan seseorang dari kalian terdapat bibit kurma, maka jika ia masih sempat menanamnya sebelum Kiamat tiba, tanamlah bibit kurma itu.”(HR. Ahmad dan Bukhari)

Lihat. Sudah kiamat. Apa guna lagi menanam benih, yang pastinya tidak akan tumbuh akibat kiamat?

Tetapi itulah yang Rasulullah SAW arahkan.

Kerana apa?

Kerana pada usaha itu ada ganjarannya daripada Allah SWT.

Apakah ganjarannya?

Kita mungkin tidak akan sempat mengetahuinya. Mungkin hanya anak-anak kita yang akan sempat melihat apakah hasil daripada usaha kita itu. Mungkin pula, di akhirat sahaja akan mampu kita saksikan, apakah ganjarannya daripada perbuatan kita itu.

Tetapi yang penting, usaha.

Dan siapakah yang tidak mahu bersama-sama kafilah manusia yang berusaha untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman jahiliyyah ini?

Ps: Marilah kita berikan perhatian, dan bantuan, kepada Second Flotilla yang dijangka akan dilancarkan pada Bulan Jun(awalnya dijangka bulan Mei, ada perubahan). Boleh dapatkan update terkini, juga bagi sesiapa yang ingin memberikan sumbangan, di link berikut: http://www.lifeline4gaza.org/

Sumber: Langitilahi.com

SHARE