Semua Tahanan Mogok Lapar Dimasukkan ke Hospital

282565_345x230RAMALLAH, 29 Mei 2014 — Semua tahanan Palestin dalam penjara Zionis yang melancarkan mogok lapar sejak 24 April lalu telah dimasukkan ke hospital, apabila kesihatan mereka merosot dengan serius.

Jawad Bulous, seorang peguam dari Persatuan Tahanan Palestin, melaporkan bahawa para tahanan terbabit dimasukkan ke hospital-hospital di kebanyakan wilayah, termasuk Pusat Rawatan Soroka di selatan, dan Pusat Rawatan Meir di tengah negara haram Zionis itu.

Badan berwajib Zionis bagi perkhidmatan penjara bertungkus-lumus sejak dua hari lalu bagi mencari penyelesaian terhadap isu tahanan yang sedang mogok lapar, memandangkan keadaan kesihatan mereka yang semakin merosot.

Beberapa orang pegawai Zionis telah memohon untuk menemui ketua tahanan Palestin di Penjara Rimon, tetapi permohonan itu ditolak kerana pihak Zionis enggan menerima wakil pemogok lapar bersama dalam perbincangan.

Lebih 200 tahanan Palestin sedang menjalankan mogok lapar di penjara-penjara Zionis sebagai langkah solidariti kepada puluhan tahanan pentadbiran yang telahpun melancarkan mogok sejak 24 April lalu. Mereka mendesak rejim Zionis menghentikan tahanan pentadbiran.

Melalui tahanan pentadbiran, rakyat Palestin boleh ditahan atau dipenjara tanpa sebarang pendakwaan atau perbicaraan selama enam bulan. Tempoh itu lazimnya dilanjutkan lagi tanpa sebarang alasan.

———

Sumber berita : Maan News Agency

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts