AL-KHALIL, 23 Feb 2016 (Mondoweiss) — Keluarga Jabari tinggal di kejiranan Wadi al-Hussein di al-Khalil yang terletak di antara dua penempatan haram Yahudi, Kiryat Arba dan Giva Ha’avot. Sejak tahun 2001, keluarga mereka berjuang mempertahankan hak ke atas tanah mereka melalui proses perundangan, setelah pendatang Yahudi secara haram membina sebuah “Kemah Sinagog” di atas tanah tersebut.

“Masalah ini bermula sejak lama dulu, tetapi kemudian menjadi semakin getir selepas Intifadah Kedua. Pendatang Yahudi cuba memujuk bapa saya supaya menjual rumah kami. Bapa saya enggan, jadi mereka mengugut beliau. Mereka kata tanah ini adalah hak “Israel”, bukan tanah Palestin. Tetapi ini adalah tanah milik bapa saya, sejak beberapa generasi lalu,” kata Ayat, salah seorang anak perempuan keluarga Jabari.

Sejak tahun 2008, mahkamah Zionis telah empat kali mengarahkan kemah tersebut dirobohkan, tetapi selepas setiap kali arahan tersebut dilaksanakan pendatang Yahudi akan membinanya semula. Sehingga kini kes keluarga Jabari ini masih lagi berkisar dalam sistem mahkamah Zionis.

“Apabila kami mula berpindah ke sini mereka [pendatang Yahudi] menikam adik lelaki saya di bahagian perut, kemudian memukul seorang lagi adik lelaki saya di bahagian matanya. Dalam kejadian lain, mereka menolak bapa saya dari atas bukit, hinggakan bahunya patah. Setiap hari, setiap malam mereka membaling batu ke arah kami,” kata Ayat. Beliau menerangkan bahawa pendatang haram Yahudi sangat inginkan tanah tersebut supaya mereka dapat hubungkan penempatan haram di pusat bandar dengan penempatan lain di kawasan pinggir bandar.

Menyedihkan lagi, kisah keluarga Jabari ini hanyalah salah satu contoh kehidupan yang dilalui oleh keluarga Palestin yang tinggal di tanah asal mereka berjirankan penempatan haram Yahudi, iaitu “masyarakat awam” yang diwujudkan di atas tanah Palestin yang dijajah oleh pengganas Zionis sejak Perang Enam Hari 1967. Penempatan seperti ini adalah haram di sisi undang-undang antarabangsa, sepertimana ditetapkan dalam Artikel 49 Konvensyen Geneva Keempat, yang melarang pihak penjajah menempatkan atau memindahkan sebahagian daripada penduduk awamnya ke kawasan atau tanah yang dijajah.

Al-Khalil adalah satu-satunya kota Palestin di Tebing Barat, selain Al-Quds Timur, yang mempunyai penempatan haram di tengah kotanya. Antara 500 hingga 800 orang pendatang Yahudi tinggal di Hebron 2 (H2), iaitu kawasan al-Khalil yang dikawal sepenuhnya oleh tentera Zionis, dalam beberapa buah penempatan dan pengkalan haram. Kiryat Arba, penempatan haram terbesar di pinggir al-Khalil, dihuni oleh sekitar 8,000 pendatang Yahudi. Ia dibina pada tahun 1968, dan merupakan penempatan haram Yahudi yang pertama di Tebing Barat. Beberapa ratus orang tentera Zionis ditugaskan di al-Khalil, kononnya untuk menjaga keselamatan pendatang Yahudi daripada serangan penduduk Palestin.

Bangunan Kiryat Arba menghadap rumah-rumah penduduk Palestin di Wadi al-Hussein.

Penduduk Palestin yang tinggal di kawasan berdekatan dengan penempatan pendatang Yahudi berhadapan dengan cabaran yang serius untuk mendapatkan kemudahan rawatan perubatan asas, bekalan air dan perkhidmatan sanitasi. Begitu juga dengan halangan untuk ke tempat kerja, sekolah dan tempat ibadah. Banyak jalan-jalan ditutup kepada pemandu Palestin dan hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki, sehingga mereka terpaksa membawa keperluan harian seperti makanan, air dan gas memasak dengan cara memikul atau menggunakan kereta sorong. Bahkan ambulan seringkali tidak dapat tiba ke rumah pesakit kerana laluan ditutup, dan banyak sekolah yang hanya boleh dituju dengan berjalan kaki. Setiap hari, para pelajar dan guru harus melalui pemeriksaan di sekatan jalan. Sekalipun langkah seperti ini seakan-akan wajar bagi pihak berkuasa Zionis demi menjaga kepentingan pendatang Yahudi yang tinggal di kota tersebut, ianya bukan sahaja menghalang pembangunan kota itu bahkan juga menafikan hak penduduk Palestin untuk hidup secara normal sepertimana manusia lain.

“Tidak ada siapa boleh menmandu kenderaan melalui Prayer’s Road (iaitu laluan utama menuju ke kawasan kejiranan tempat tinggal Ayat, khusus untuk menghubungkan penempatan haram Kiryat Arba dengan Masjid Ibrahimi di Kota Lama al-Khalil, yang dibina di atas tanah penduduk Palestin yang dirampas) atau mana-mana bahagian Wadi al-Hussein,” jelas Ayat. “Bahkan dari tahun 2002 hingga 2005, tidak ada siapa pun boleh berjalan kaki di situ. Jalan ini ditutup, penduduk Palestin tidak dapat berjalan atau memandu dengan bebas. Setiap hari kanak-kanak terpaksa berjalan mendaki bukit untuk pergi ke sekolah, tetapi ianya merbahaya di musim sejuk kerana salji dan hujan. Laluan tersebut tidak berturap. Namun berjalan di jalan utama adalah lebih merbahaya kepada mereka. Di sana ada empat sekatan dan mereka perlu melalui semua sekatan tersebut setiap hari. Kami dikelilingi oleh tiga penempatan haram Yahudi.”

Selain daripada halangan memasuki atau bergerak di kawasan tertentu yang dikenakan oleh pihak berkuasa Zionis, penduduk Palestin di H2 juga terpaksa berhadapan dengan gangguan daripada pendatang Yahudi, termasuklah kerosakan dan rampasan rumah, serangan secara fizikal, cercaan, dan juga ugutan kepada kanak-kanak dalam perjalanan ke sekolah.

“Hari ini orang tidak berjalan kaki di sini kerana mereka takutkan pendatang Yahudi,” dedah Ayat. “Kadang-kadang apabila pendatang Yahudi melihat wanita berhijab, mereka akan cuba untuk menanggalkan hijab tersebut. Orang Palestin dari luar al-Khalil takut untuk datang ke sini. Begitu juga orang dari luar negara. Kami tidak ada sebarang pengunjung atau kawan-kawan yang datang di sini. Sebelum sekatan dibina, mereka selalu datang ke sini. Kami hidup di dalam penjara, saya sangat sedih terhadap keluarga saya, kanak-kanak tidak boleh bermain di jalanan, keluarga saya tidak tahu apa yang berlaku di luar sana. Saya bayangkan Palestin di dalam sebuah penjara. Kehidupan di sini di H2 adalah berbeza daripada seluruh kawasan lain di al-Khalil tetapi secara realitinya kami semua berada di dalam penjara. Masukkan saya dalam beg awak bila awak pulang nanti?”

Laluan Asphalted yang menuju ke Kiryat Arba, bersebelahan laluan tidak berturap yang menuju ke kawasan rumah-rumah penduk Palestin di Wadi al-Hussein.

Pada tahun 2014 Pelapor Khas PBB bagi hak asasi di Palestin, Richard Falk, menekankan bahawa penempatan Yahudi di H2 telah menyebabkan kekangan yang dahsyat, yang membawa kepada suasana tegang yang memberi kesan negatif kepada semua penduduk Palestin. Kekurangan sumber untuk mejalankan siasatan secara menyeluruh dan tanggungjawab penduduk Palestin untuk memfailkan aduan dan memberi keterangan di setesen-stesen polis Zionis di dalam kawasan penempatan haram, juga menghalang mangsa daripada membuat laporan terhadap keganasan pendatang Yahudi. Menurut Pejabat PBB bagi Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), majoriti besar aduan berkaitan keganasan pendatang Yahudi yang difailkan beberapa tahun kebelakangan ini telahpun ditutup oleh pihak berkuasa Zionis tanpa sebarang dakwaan.

PBB menyeru pihak rejim supaya menghormati dan menunaikan keperluan kemanusiaan dan hak asasi bagi penduduk Palestin di al-Khalil, termasuklah hak mereka untuk bergerak secara bebas dan hak untuk hidup bebas dari sebarang diskriminasi. PBB juga memohon supaya pihak berkuasa memastikan mereka yang bertanggung jawab dalam keganasan dan membuat ugutan dihukum mengikut undang-undang Zionis.

“Kenapa tidak ada sesiapapun berbuat sesuatu untuk membantu kami di sini?,” tanya Ayat. “Kami semua adalah manusia, sebab itu saya tetap kekal di sini. Apa lagi yang dapat kami buat? Saya berharap supaya dapat berbuat sesuatu, untuk memberi semula kehidupan kepada tempat ini, tapi ianya bukanlah suatu yang mudah… ianya sangat sunyi di sini, kamu dengar?”

Saya hanya mengangguk, sebagaimana saya dapat mendengar suasana sunyi di kejiranan ini.

Pemuda Palestin diarah berada jauh dari sekumpulan pendatang Yahudi di hadapannya dan memberi lauan kepada mereka, dan dia hanya dibenarkan melepasi sekatan pemeriksaan dengan syarat tidak menunggang kuda beliau.

——–

Ditulis semula dari karangan asal oleh Sabrina Tucci yang berada di al-Khalil untuk tugasan sebagai pemerhati hak asasi.

SHARE