Sengsara Untuk Keluar Dari Penjara Terbuka Terbesar Dunia

GAZA, 23 Ogos 2015 (Mondoweiss) — Air muka Nada Mumer jelas menunjukkan betapa beliau keletihan dan merasa tertekan. Nada yang sedang mengandung sembilan bulan menantikan pegawai bertugas untuk memanggil nama mereka yang akan dibenarkan untuk menaiki sebuah bas menuju ke pintu lintasan Rafah di kawasan pentadbiran Mesir.

“Suami saya sedang menunggu di sebelah Mesir. Saya datang ke Gaza lima bulan lalu untuk menziarahi keluarga. Saya berjaya tinggal di situ selama hanya dua minggu, tetapi saya terkejut dengan penutupan pintu lintasan secara berterusan. Anak lelaki saya mengalami masalah jaringan otak yang mengecil (cerebral atrophy) dan memerlukan rawatan segera di hospital luar,” kata Nada.

Nada Mumer menantikan peluang untuk melintas dan bertermu suaminya. Kanak-kanak yang tertidur adalah anak lelakinya yang sakit.
Nada Mumer menantikan peluang untuk melintas dan bertermu suaminya. Kanak-kanak yang tertidur adalah anak lelakinya yang sakit.

Dewan berlepas di lintasan Rafah penuh dengan manusia yang membawa beg barangan mereka, menunggu giliran mereka untuk keluar setelah pemerintah Mesir membuat pengumuman untuk membuka pintu lintasan selama empat hari. “Saya tertanya-tanya, bagaimana (tempoh selama) empat hari dapat memberi peluang kepada semua mereka ini untuk keluar. Keadaan sangat dahsyat dan tidak tertanggung. Kami harap pihak Mesir akan melanjutkan tempoh,” kata Nada lagi.

Pegawai-pegawai Palestin berasa lega dengan keputusan pihak berwajib Mesir untuk membukan lintasan Rafah, yang telah ditutup sejak lebih dua bulan, sekaligus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza.

Sepanjang tempoh tersebut ramai penduduk Gaza, termasuk pesakit yang menunggu untuk mendapatkan rawatan perubatan dan pelajar yang ingin menamatkan palajaran mereka di universiti-universiti di luar Gaza, mendapati mereka terperangkap di dalam apa yang dikenali sebagai “penjara terbuka paling besar di dunia.”

Keletihan menunggu di lintasan Rafah.
Keletihan menunggu di lintasan Rafah.

Pesakit Dalam Bahaya

Gaza dipenuhi dengan cerita yang tragis tentang manusia yang dinafikan hak mereka untuk keluar mendapatkan rawatan perubatan di hospital luar negara.

Ismael Redwan, 38 tahun, mengalami masalah sakit tulang rawan di bahagian leher dan belakangnya. Dia perlu menjalani pembedahan di sebuah hospital di Mesir. “Saya telah cuba untuk melakukan perjalanan ke Mesir selama tiga tahun, saya tidak jemu memeriksa dokumen dan passpot untuk diserahkan, tetapi setakat ini nama saya masih tidak termasuk dalam senarai mereka yang akan dibenarkan melintas sempadan,” kata Redwan.

Redwan marah kerana terpaksa datang setiap hari dari Beit Hanoun, di utara Gaza, ke Rafah, di selatan Gaza, bagi memastikan beliau dapat mengemukakan nama sebelum berakhirnya tempoh empat hari pintu lintasan dibuka. “Saya bukanlah minta sesuatu yang luarbiasa, apa yang saya mahu hanyalah untuk mendapat kebenaran mendapatkan hak saya untuk keluar menjalani rawatan penyakit saya. Membuka pintu lintasan selama tiga hingga empat hari dalam setiap lima bulan memburukkan lagi keadaan kami, kami tidak mampu berhadapan dengan realiti yang pahit seperti ini,” kata Redwan.

Muneera Sumor, 42 tahun, mengalami masalah kegagalan buah pinggang sejak lebih lapan tahun lalu, dan para doktor memutuskan bahawa beliau perlu mendapatkan rawatan pemindahan buah pinggang di Pakistan. Walaupun nama beliau termasuk dalam senarai, Muneera masih bimbang sekiranya perjalanan beliau terhalang. “Saya boleh mendapat jaminan (untuk keluar dari Gaza) hanya setelah saya berjaya tiba di sebelah Mesir,” kata Muneera.

Proses memeriksa dokumen dan passpot.
Proses memeriksa dokumen dan passpot.

Pembukaan Yang Tidak Tidak Memadai

Para pegawai Mesir telah bersetuju untuk memberi kebenaran perjalanan dalam bilangan yang terhad kepada “kes kemanusiaan.” Ketika laporan ini ditulis, hanya 494 penduduk Gaza berjaya melintasi pintu Rafah dan sampai di Mesir.

Menaiki bas untuk ke pintu lintasan di kawasan Mesir.
Menaiki bas untuk ke pintu lintasan di kawasan Mesir.

Khaled Shair, seorang penyelaras lintasan Rafah di kawasan Gaza, mengesahkan bahawa pada hari pertama pintu lintasan dibuka, lebih tujuh buah bas membawa penduduk Gaza ke Mesir, dan dua buah ambulan Kementerian Kesihatan Gaza memindahkan pesakit ke hospital Mesir.

“Penduduk Gaza sudah lama menunggu dan tidak sabar lagi untuk melihat pintu lintasan Rafah dibuka luas, sekaligus menghubungkan semula mereka dengan dunia luar. Tetapi kita lihat hanya beberapa ratus orang daripada mereka dibenarkan untuk keluar, sedangkan kita ada 20,000 nama yang didaftarkan untuk melakukan perjalanan,” kata Khaled.

Pegawai-pegawai di lintasan berkata mereka menantikan ketibaan kenderaan yang membawa masuk ratusan tan simen dan batu ke Gaza, dan juga bekalan minyak dari Mesir bagi mengurangkan krisis bekalan elektrik yang dialama di Gaza slama ini.

Penderitaan Bagi Pelajar Dan Pekerja

Suhaib Sameh, 22 tahun, pulang menziarahi keluarganya selepas tiga tahun belajar di sebuah universiti di Mesir. Beliau terkejut dengan keputusan Mesir untuk menutup lintasan Rafah selama dua bulan. “Saya bagaikan hidup dalam mimpi ngeri. Saya mungkin tidak akan dapat sertai universiti di Mesir dan menamatkan pengajian di sana,” kaat Suhaib. Beliau dijadualkan menaiki bas yang keempat pada hari terakhir pintu dibuka.

Ahmed Naggar, 42 tahun, bimbang kehilangan pekerjaan di United Arab Emirates memandangkan beliau telah terperangkap di Gaza selama lebih tiga bulan. “Saya mesti keluar hari ini atau esok, jika tidak saya akan kehilangan pekerjaan. Mereka sepatutunya menambah lagi bilangan mereka yang dibenarkan keluar kali ini, saya tidak boleh bertahan di sini lebih dari sehari lagi,” kata Naggar.

Menunggu di pintu lintasan Rafah.
Menunggu di pintu lintasan Rafah.

Rayuan Kemanusian

Pintu Lintasa Rafah dibuka hanya selama 15 hari sejak awal tahun 2015, sekaligus menggandakan sengsara penduduk Gaza. Lintasan Rafah, dengan semua kerenah yang ada, telah memainkan peranan utama dalam sekatan yang dikenakan ke atas Gaza sejak lebih lapan tahun lalu. Oleh itu, apabila kita berbincang tentang kesan sengsara akibat sekatan rejim Zionis ke atas Gaza, kita harus juga menyentuh tindakan Mesir yang menutup secara berterusan pintu lintasan di Rafah.

Kini pintu lintasan Rafah ditutup semula, meninggalkan lebih 17,000 orang yang terpaksa terus menunggu. Hanya 3,000 orang berjaya keluar termasuklah mereka yang memerlukan rawatan perubatan, pelajar dan juga mereka yang memiliki passpot dan permit tinggal di luar negara. Manakala 2,000 orang yang terkandas di Mesir berjaya pulang masuk ke Gaza.

Semoga harapan kita untuk melihat pintu lintasan Rafah dibuka buat selama-lamanya menjadi kenyataan tidak lama lagi.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts