RAMALLAH, 13 Feb 2018 — Seorang penduduk Palestin cedera ditembak, manakala sekurang-kurangnya 13 yang lain termasuk 2 remaja perempuan dan empat bekas tahanan ditangkap sepanjang malam tadi.

Dalam kejadian di timur Nablus, seorang mangsa ditembak dengan peluru hidup di bahagian peha dan tiga yang lain mengalami sesak nafas dalam pertempuran dengan tentera Zionis di bandar Salem.

Manakala di Tulkarem, tentera Zionis menyerang dan memecah masuk serta menggeledah rumah-rumah di kem pelarian Nour Shams, serta menangkap empat penduduk dari rumah mereka. Mangsa dikenali sebagai Nihad Abu Harb, Mahfouth Abu Aisha, Alaa Abu Qseidi dan Faris Khalifa.

Tentera turut menangkap empat orang bekas tahanan, di mana salah seorang daripada mangsa pernah merengkok dalam penjara Zionis selama 13 tahun.

Manakala di utara Baitulmaqdis, dua orang penduduk ditangkap dari kem pelarian Qalandiya iaitu Ahmad Odeh dan Jasser Abed Rabbu. Manakala penduduk Fadi Hammad ditangkap setelah tentera memecah masuk dan menggeledah rumahnya di bandar Silwad.

Dua orang remaja perempuan ditangkap atas dakwaan memakai pakaian tentera dan memegang senjata. Kedua-dua mangsa diheret ke sebuah pusat interogasi.

Beberapa buah rumah penduduk Palestin dipecah masuk dan digeledah di Ithna, wilayah al-Khalil, dan juga bandar Tuqu dan kem pelarian Aida di wilayah Beit Lahm.

Dokumentasi PBB menunjukkan tentera Zionis menjalankan sekurang-kurangnya 176 operasi memburu penduduk Palestin dalam setiap dua minggu sepanjang tahun 2018.

(Maan, PIC)

SHARE