GAZA, 4 Okt 2018 — Tentera penjajah Zionis membunuh seorang kanak-kanak dan mencederakan 25 lagi penduduk Gaza dalam perhimpunan Great Return March (GRM) berdekatan terminal pintu sempadan Beit Hanoun, utara Gaza, malam tadi.

Ahmad Samir Abu Habel, 15, ditembak dengan bom gas pemedih mata berkelajuan tinggi di bahagian kepalanya, menembusi tengkorak.

Ketika kejadian, gas pemedih mata mencurah keluar dari kelongsong yang melekat di tengkorak beliau sebelum sekumpulan pemuda berkejar membantu dan membawa beliau ke sebuah ambulan.

Sementara 25 lagi penduduk cedera dan dikejarkan ke Hospital Indonesia berdekatan Bait Lahia, di mana seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal. Sebahagian daripada mangsa cedera ditembak dengan peluru hidup.

Tentera Zionis turut menembak kenderaan ambulan dengan gas pemedih mata dan peluru hidup.

Sejak bermulanya kempen GRM pada 30 Mac lalu, seramai 204 penduduk Gaza telah terkorban dan lebih 22,000 yang lain tercedera. Seramai 460 daripada mereka dalam keadaan kritikal.

(IMEMC, WAFA, PIC)

SHARE