Seorang pemuda Baitulmaqdis terbunuh, 4 tercedera ditembak tentera Zionis

BAITULMAQDIS, 28 Jun 2019 — Seorang pemuda Palestin terbunuh dan empat yang lain tercedera ditembak oleh tentera Zionis di al-Issawiya, utara Baitulmaqdis, malam tadi.

Kejadian berlaku ketika pasukan tentera Zionis mengepung al-Issawiya dan menyasarkan tembakan peluru hidup ke arah kumpulan pemuda Palestin, menyebabkan Mohammed Samir Obaid, 20, terkena beberapa das tembakan termasuk di bahagian jantung. Susulan insiden tersebut, tentera Zionis menutup semua laluan masuk ke al-Issawiya walaupun penduduk mendesak supaya ambulan dibawa masuk.

Tentera Zionis cuba melarikan Mohammed yang tercedera dan memukul penduduk yang membantu beliau. Mereka kemudian bergegas ke Hospital Hadasah tempat Mohammed dirawat, menyerbu pusat rawatan rapi sebelum menyerang serta menangkap beberapa orang yang berada di situ.

Mohammed disahkan meninggal dunia oleh doktor-doktor di Hospital Hadasah. Beliau dibebaskan dari penjara Zionis setahun lalu, selepas dikurung selama 20 bulan. Sebelum itu beliau telah beberapa kali dikurung dalam penjara Zionis, dengan tempoh keseluruhan selama empat tahun. Pada tahun 2016, tentera Zionis menangkap dan memenjara adik perempuan beliau Sondos Obeid selama lima bulan, selepas mendakwa beliau membawa sebilah pisau. Bapanya pernah dikenakan tahanan pentadbiran tanpa sebarang pendakwaan.

Pemuda Palestin berkumpul di sekitar al-Issawiya bagi membantah tindakan tentera Zionis membuat serbuan setiap hari ke kawasan tersebut. Semalam, tentera Zionis memaksa dua-beradik Palestin merobohkan rumah mereka sendiri di kota Silwan. Pada masa yang sama, mereka cuba mengusir keluarga lain keluar dari rumah mereka, juga di Silwan.

(IMEMC, PIC, WAFA)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts