Serangan Dan Sekatan Zionis Terus Hantui Kanak-Kanak Gaza

GAZA, 11 Ogos 2015 (ISM) — Maher Shitat, 13 tahun, ditembak di bahagian kaki oleh tentera Zionis pada malam Jumaat lalu.

Maher menghantar adiknya ke rumah seorang saudara mereka, dan dalam perjalanan pulang tentera Zionis melepaskan tembakan tanpa sebarang amaran. Beliau ditembak di kawasan El-Zeraa di Beit Hanoun pada jam 8:00 malam. Maher melalui jalan yang sering dilalui oleh penduduk, kira-kira 500 meter dari pagar sempadan.

Pada mulanya Maher dibawa ke Hospital Beit Hanoun, tetapi para doktor tidak dapat merawat beliau kerana hospital tersebut tidak mempunyai kelengkapan untuk merawat. Kemudiaanya beliau dipindahkan ke Hospital Kamal Adwan, di mana para doktor memutuskan untuk tidak membedah dan membuang peluru kerana ianya berada berdekatan dengan urat darah. Usaha membuang peluru tersebut boleh menyebabkan kaki Maher dipotong.

Sekarang, mereka cuba menstabilkan keadaan Maher. Mereka berharap Maher akan dapat berjalan semula tidak lama lagi, dan selepas 15 tahun bilamana kaki dan uratnya bertambah kuat, mereka akan dapat membuang peluru tersebut.

Buat masa ini, Maher tidak dibenarkan berjalan. Jadi beliau hanya terbaring di atas tilam sepanjang hari.

“Dia sangat bimbang… dia tidak mahu bercakap dan hari ini dia menggigil lebih 30 minit,” kata ibunya.

Menurut keluarga Maher, sikap Maher itu bukanlah kerana serangan yang baharu beliau alami. Sepanjang serangan tentera Zionis pada musim panas lalu, rumah mereka turut dibom, mengorbankan sepupunya dan mencederakan kaki bapanya.

Mereka tidak berada dirumah ketika pemgeboman itu kerana sudahpun berpindah ke pusat penginapan di sebuah sekolah UNRWA. Tetapi mereka berada di rumah ketika tentera Zionis mengebom rumah jiran bersebelahan mereka. Sejak hari itu, personaliti Maher berubah. Keluarganya berpendapat bahawa Maher kini mengalami trauma. Dalam jangkasama yang singkat, Maher telah melalui pengalaman ngeri tiga kali serangan besar-besaran tentera Zionis ke atas penduduk Gaza.

Ibunya menjelaskan, sejak serangan musim panas lalu sehingga sekarang, Maher tidak boleh berseorangan ke tandas kerana beliau takut jika tentera Zionis berada di dalam tandas tersebut.

Terang ibunya lagi, Maher dan adiknya bertanya setiap masa, kenapa tentera Zionis ingin membunuh mereka. Lalu mereka terus menangis kerana mereka tidak sanggup mati.

Kesan psikologi daripada serangan musim panas lalu ke atas Maher sangat jelas, sebagaimana kebanyakan kanak-kanak lain di Gaza. Sebelum serangan tersebut, beliau kerap mendapat keputusan terbaik di dalam kelas. Tetapi tahun ini keputusan peperiksaannya sangat lemah bahkan terpaksa mengulangi mata pelajarannya.

Dengan kesan psikologi serta kemusnahan yang mereka tinggalkan, rejim Zionis tidak pernah berhenti menzalimi penduduk Palestin. Sekatan sejak lebih lapan tahun lalu terus mencengkam penduduk Gaza yang terpaksa mengharungi kehidupan tanpa kemudahan asas, keamanan dan kebebasan sebagaimana manusia lain.

ism2

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts