Serangan di New Zealand mengimbau peristiwa pembunuhan di Masjid Ibrahimi

LONDON, 22 Mac 2019 — Serangan ngeri terhadap umat Islam di dua buah masjid di New Zealand menyingkap kembali memori duka salah satu keganasan yang terawal ke atas sebuah masjid pada tahun 1994.

Brenton Tarrant, pelampau kulit putih berusia 28 tahun dari Australia, telah memasuki dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, pada hari Jumaat minggu lalu. Beliau menembak ahli jemaah masjid yang sedang beribadah, menyebabkan 50 orang terbunuh dan ramai yang lain tercedera.

Peristiwa pembunuhan beramai-ramai ini berlaku dalam minggu-minggu ulang tahun ke-25 salah satu serangan terawal pengganas yang melibatkan masjid. Serangan ini terjadi pada 25 Februari 1994, dan ia dilakukan oleh seorang doktor dari Amerika, Baruch Goldstein.

Goldstein memegang dua kewarganegaraan dan memiliki kesetiaan yang tinggi kepada Israel, memakai seragam tentera Israel. Ia satu perkara yang bertentangan dengan prinsip Amerika sebagaimana yang pernah diingatkan oleh seorang ahli Kongres wanita, Ilhan Omar.

Ketika kejadian, Goldstein membawa selaras senjata otomatik yang dikeluarkan oleh rejim Zionis Israel dan dibantu oleh satu unit tentera Israel yang lengkap bersenjata berat yang asalnya dikerah bagi melindungi sejumlah 400 pendatang Yahudi yang merampas sebahagian besar Kota Lama al-Khalil untuk dijadikan penempatan haram mereka. Kota al-Khalil didiami kira-kira 120,000 orang penduduk Palestin termasuk Kristian dan Muslim. Pergerakan harian mereka tertakluk kepada sekatan tentera Israel.

Semasa serangan yang mengambil masa hanya beberapa minit itu, Goldstein membunuh 29 orang Islam yang sedang bersolat dan mencederakan lebih 125 yang lain. Tentera Israel yang melindungi pendatang haram Yahudi di situ tidak langsung menghalang tindakan Goldstein itu. Goldstein hanya dapat dihentikan apabila sekumpulan ahli jemaah dengan berani menerpa ke arahnya, dan beliau akhirnya mati dibelasah.

Goldstein pasti menembak serta membunuh habis-habisan jika tiada jemaah yang berani menghalangnya.

Masjid Ibrahimi, yang disebut Yahudi sebagai “Cave of the Patriachs” adalah makam beberapa nabi dan rasul seperti Ibrahim AS, Ishak AS, Ya’kub AS dan isteri Nabi Ibrahim, Siti Sarah.

Peristiwa pembunuhan ini tercetus sebaik sahaja Perjanjian Damai Oslo ditandatangani oleh pemimpin Palestin, Yasser Arafat, bersama Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin.

Rabin mengecam keras tidakan Goldstein dalam satu panggilan telefon secara peribadi kepada Yasser Arafat. Bagaimanapun Goldstein telah menjadi pujaan masyarakat Yahudi, dan mereka membina makam kuburannya di kawasan penempatan haram Kiryat Arba di mana penduduknya mendukung ideologi ganas Goldstein. Atas bantahan antarabangsa, tugu peringatan Goldstein kemudiannya dirobohkan dan dipindahkan ke sebuah taman di penempatan Yahudi. Pendatang Yahudi terus memberi penghormatan kepada memori Goldstein dan warisannya yang dianggap hebat.

Serangan Masjid Ibrahimi menimbulkan persoalan penting mengenai keikhlasan pemimpin Israel dalamm menyatakan ucapan takziah kepada keluarga mereka yang terbunuh di New Zealand. Ia adalah dasar kerajaan Israel yang melahirkan keganasan Goldstein. Dasar-dasar pengasingan, perkauman dan diskriminasi yang diamalkan oleh pemimpin Israel tidak ada perubahan.

Yahudi di al-Khalil ialah antara yang paling radikal dalam kalangan pendatang, kerana mereka adalah golongan yang secara langsung mencetus dan menyemarak konflik dengan penduduk Palestin.

Saya berkunjung ke sana satu tahun selepas pembunuhan Goldstein, pada tahun 1995, sebagai Presiden Kebangsaan Kongres Amerika Palestin. Saya dapat melawat masjid dan menyaksikan lubang-lubang peluru kesan tembakan senjata otomatik Goldstein yang kekal di situ.

Masjid dan penempatan-penempatan Yahudi di situ dikelilingi oleh tentera-tentera Israel yang ditugaskan untuk melindungi pendatang Yahudi. Mereka sering menghalang penduduk Palestin dari menunaikan solat di masjid. Jalan-jalan utama ke masjid di Kota Lama dijaga oleh pendatang Yahudi bagi menghalang rakyat Palestin menggunakannya. Saya enggan membenarkan tentera Israel menyekat saya ketika berjalan ke masjid, dengan melambaikan passport Amerika saya. Apabila saya meninggalkan masjid, saya dikepung oleh pendatang Yahudi yang menghayun batang kayu pada sambil mengancam saya. Tentera Israel berdiri di antara kami, tetapi mereka di situ hanyalah untuk melindungi pendatang Yahudi, bukannya diri saya.

Ia adalah pengalaman yang paling menakutkan dalam hidup saya.

Goldstein adalah seorang pelampau seperti Yigal Amir, pengikut politik sayap kanan Ariel Sharon dan Benjamin Netanyahu yang membunuh Yitzhak Rabin pada 4 November 1995. Yigal Amir yang berjalan terus ke arah Rabin dan memicu pistol Berettanya tiga kali pada Rabin, seakan-akan dijaga oleh polis dan tentera Israel bagi pembunuhan ini berlaku. Yitzhak Rabin maut terkena 2 butir peluru dari tembakan Yigal Amir.

Walaupun hari ini ramai orang yahudi menyatakan simpati terhadap mangsa serangan pengganas di New Zealand, hal yang sebenarnya adalah ramai orang Yahudi menyatakan permusuhan (terhadap Muslim) dan meraikan serangan itu, memandangkan orang-orang Islam dan Palestin mengancam cita-cita mereka untuk mewujudkan satu negara khusus hanya untuk Yahudi.

Reaksi pemimpin-pemimpin Israel terhadap pembunuhan di New Zealand agak jijik, dengan menyuntik kepentingan politik mereka dalam insiden itu.

Persekutuan Zionis Australia dengan pantas meletakkan insiden ini dalam konteks mementingkan diri mereka, mengisytiharkan “Sebagai orang Yahudi, kita sangat faham bagaimana hidup dalam ketakutan”. Pemimpin-pemimpin Israel yang lain juga cepat mengutuk pembunuhan itu, walaupun mereka tetap berdiam diri tentang pembunuhan penduduk Gaza oleh tentera Israel. Lebih 250 orang Palestin telah dibunuh oleh penembak tepat Israel, yang menghalakan senjata mereka menggunakan skop sniper berkuasa tinggi.

Ramai warga di negara Apartheid Israel meraikan pembunuhan melalui media sosial, bersorak dan menyeru supaya lebih ramai dibunuh. Kebencian anti-Muslim didokumentasikan oleh Pusat Masawwa Untuk Hak-Hak Penduduk Arab di Israel, yang telah meminta pemerintah Israel untuk mengambil tindakan. (Masawwa bermaksud “kesamaan” dalam Bahasa Arab.)

Pegawai-pegawai Pusat Massawa menegaskan bahawa Israel telah melaksanakan pemeriksaan duplikat “ucapan kebencian” di laman media sosial seperti Twitter dan Facebook.

Menurut Quds Press yang mendokumentasikan kekerasan anti-Palestin oleh pemerintah Israel, beratus-ratus orang Palestin telah dituduh dan didakwa menghasut kebencian di media sosial, tetapi tindakan keras yang sama tidak berlaku kepada orang Yahudi.

Israel juga turut menaja undang-undang untuk memaksa Facebook menghapuskan apa yang mereka anggap sebagai “ucapan kebencian”, terutamanya tulisan oleh rakyat Palestin terhadap pendudukan Israel, atau menyokong pergerakan BDS (Boycott, Divestment and Sanctions) yang menyasarkan eksploitasi tanah dan sumber semulajadi Palestin yang dirampas oleh Israel untuk penempatan dan kegunaan khusus bagi Yahudi.

Presiden Israel Reuven Rivlin dengan tegas mengecam serangan yang didorong oleh kebencian, tetapi dia sering menjadi suara yang sederhana bahkan tidak tegas di tanah yang dikuasai oleh Apartheid dan amalan perkauman. Rivlin tidak mempunyai kuasa politik seperti Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel yang sedang mencari jalan untuk sekali lagi memenangi pilihan raya 9 April.

Semasa kempen pilihan raya ini, Netanyahu telah menimbulkan sentimen perkauman anti-Arab dengan memberi amaran kepada rakyat Israel bahawa jika mereka memilih pesaingnya dari koalisi tengah-kiri, penduduk Arab Israel akan meningkatkan pengaruh mereka.

“Memilih gabungan yang termasuk parti Arab akan melemahkan keselamatan negara dan rakyat,” dakwa Netanyahu.

Netanyahu menggunakan taktik yang sama dalam pilihan raya 2015, dengan mencetuskan ketakutan.

Ekstremisme yang sama dan penyemaian ketakutan inilah mecetus serangan Tarant terhadap umat Islam di New Zealand, dan hal serupa ini dilakukan setiap hari di Israel. Walaupun terdapat sesetengah rakyat Israel menentang sikap fanatik, tidak ramai yang dapat menghalang. Dasar diskriminasi yang memisahkan orang yahudi daripada orang bukan Yahudi di Israel terus berlaku.

Apabila anda tinggal di sebuah daerah yang menyemarakkan perkauman, anda tidak dapat menyatakan simpati yang tulus bagi mereka yang menjadi mangsa kebencian ganas.

Orang Arab di Israel tidak pernah mempunyai motivasi yang lebih besar untuk keluar mengundi dalam pilihan raya dan melawan peningkatan ekstremisme anti-Arab.


Tulisan Ray Hanania di Middle East Monitor, dengan terjemahan dan olahan semula oleh Umar Ismail.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts