GAZA, 2 Jun 2018 — Di tengah-tengah kesengitan serangan gas pemedih mata dan tembakan peluru hidup, Razan al-Najjar mencelahi penduduk Gaza yang sesak berhimpun tidak jauh dari kawasan pagar sempadan, bergegas untuk memberi rawatan kepada mangsa-mangsa yang sedang sesak nafas.

Relawan paramedik Razan al-Najjar, 21, dengan penuh berani mara bersama peserta perhimpunan di sempadan timur daerah Khan Younis di selatan Gaza, untuk merawat mereka yang tercedera.

Anak sulung kepada tiga beradik itu menceburi bidang paramedik selepas tamat pengajian diploma kejururawatan serta menghadiri berbagai kursus-kursus bantuan kecemasan.

Beliau merupakan seorang relawan lapangan bagi Kementerian Kesihatan, bertugas bersama sebilangan rakannya memberi bantuan perubatan kepada penduduk yang mengambil bahagian dalam Great Return March (GRM) berdekatan Khuza’a di timur Khan Younis, sejak bermulanya kempen GRM. Beliau fokus kepada tugasan membantu wanita dan kanak-kanak.

Di tengah kegigihan beliau, peluru-peluru tentera penjajah Zionis telah menamatkan kerja sukarelanya. Razan ditembak oleh penembak tepat tentera Zionis di timur Khan Younis, ketika bersama lima rakan paramediknya menuju ke arah kawasan berdekatan pagar sempadan untuk membantu mangsa yang cedera.

Dengan berpakaian seragam putih paramedik, beliau mengangkat tangan dengan jelas, tetapi tentera Zionis tetap menembak beliau di bahagian dada.

Dalam tulisan terakhir beliau di laman Facebook, Razam menulis, “Saya kembali dan tidak berpatah balik,” diakhiri dengan “Tembaklah saya dengan peluru, saya tidak takut.”

Lebih 100 orang cedera pada hari itu, di mana 40 daripada mereka terkena tembakan peluru hidup dan selebihnya mengalamai sesak nafas diserang dengan gas pemedih mata. Empat petugas paramedik turut tercedera ketika membantu mangsa-mangsa berdekatan kawasan pagar.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qedra, berkata “Hari ini Palestin mengucap selamat tinggal kepada seorang syahidah sukarelawanan Razan Ashraf al-Najjar, yang tidak pernah meninggalkan medan tugasnya sepanjang Great March of Return sehinggalah beliau ditembak mati di timur Khan Younis.”

Menurut ibunya Sabreen, anak perempuannya itu keluar rumah setiap hari Jumaat dari jam 7:00 pagi sehingga 8:00 malam. “Dia sering balik ke rumah dengan baju yang penuh dengan darah. Dia biasanya menunggu di lapangan sehingga semua orang sudah pulang.” Apabila sekumpulan pemuda Gaza mengusung mangsa yang cedera, Razan bersama rakan-rakannya akan bergegas memberi bantuan kecemasan sebelum mangsa dipindahkan ke dalam ambulan untuk dikejarkan ke hospital.

Sepanjang tugasan beliau, Razan telah berulang-ulang kali mengalami sesak nafas akibat serangan gas pemedih mata yang sangat sengit.

Sejak 30 Mac lalu, seramai 223 paramedik tercedera dan sebanyak 37 buah ambulan menjadi sasaran tembakan tentera Zionis. Razan merupakan korban paramedik yang kedua, selepas paramedik Moussa Abu Hassanein meninggal dunia ditembak dua minggu lalu.

Dalam satu temubual, Razan berkata beliau memilih untuk menyertai misi tersebut kerana sangat menghargai peluang berkhidmat untuk “mereka yang bertempur dengan tentera penjajah.”

Beliau bersama rakan-rakannya terus cekal membantu penduduk Gaza dengan memberi semua kebolehan dan potensi yang ada, sehinggalah ke saat beliau gugur syahid.

Ribuan penduduk Gaza hadir ke majlis pengkebumian Razan, termasuk sebahagian daripada mereka yang telah dirawat oleh beliau.

(PIC, Maan, MEMO, MEE)

SHARE