Setelah 90 hari mogok lapar, al-Qeiq kini dibiarkan tanpa peguam

RAMALLAH, 22 Feb 2016 (PIC) — Jurnalis Muhammad al-Qeiq yang telah menjalankan mogok lapar selama 90 hari kini dibiarkan tanpa peguam untuk membela kes beliau.

Keluarga al-Qeiq menyebut bahawa Persatuan Tahanan Palestin (PPS) bertindak mengundurkan diri dari membela kes tersebut sebagai tindak balas terhadap keengganan pihak perisik Zionis, atau Shin Bet, mengambil kira rayuan-rayuan yang difailkan oleh para peguam PPS.

Ketua jawatankuasa tahanan dan bekas tahanan Palestin, Issa Qaraqe, menyatakan bahawa kedegilan berterusan pihak pendakwa Zionis itu menunjukkan mereka telah membuat perancangan awal untuk membunuh Muhammad al-Qeiq.

PPS telah memaklumkan pihak berkuasa penjajah Zionis berkaitan rancangan mereka untuk meninggalkan kes tersebut sekiranya tidak mendapat sebarang jawapan terhadap rayuan-rayuan tersebut sebelum petang Ahad semalam. PPS meletakkan pihak rejim sebagai satu-satunya pihak yang bertanggungjawab ke atas nyawa Muhammad al-Qeiq. Keluarga mangsa turut dimaklumkan berkaitan perkembangan tersebut.

Peguam PPS, Hanan Khatib, turut memberi amaran berkaitan keadaan kesihatan kritikal tahanan Muhammad al-Qieq setelah menjalankan mogok secara berterusan selama tiga bulan. Muhammad al-Qeiq antara lain telah mengalami serangan jantung, kesakitan yang teruk, hilang berat badan, kekejangan otot, kehilangan pendengaran dan masalah kardiovaskular.

Muhammad al-Qeiq ditahan di rumah beliau di Ramallah pada 21 November lalu dan melalui pelbagai bentuk penyeksaan ketika disoal-siasat. Beliau kemudiannya ditahan di bawah tahanan pentadbiran tanpa sebarang perbicaraan atau pendakwaan, yang telah mencetus tindakan beliau mengisytiharkan mogok lapar secara terbuka beberapa hari kemudiannya.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts