Sheikh Raed Salah Menang Rayuan Terhadap Deportasi

raed-salah-01LONDON, 7 April 2012 — Sheikh Ra’ed Salah, pemimpin gerakan Islam Wilayah Palestin 1948, telah memenangi rayuannya terhadap usaha kerajaan British untuk mengusir beliau dari United Kingdom. Berita ini telah disampaikan oleh jurucakap gerakan tersebut, Naji Zuhaidat.

Menurut petikan Quds Press, Naji Zuhaidat berkata bahawa apa yang penting adalah kemenangan moral dan simbolik, yang beliau sifatkan sebagai kejayaan bagi Palestin, bangsa Arab, dan seluruh umat Islam kerana Sheikh Ra’ed akan pulang ke rumah tanpa sebarang persepsi buruk terhadap peribadi mahupun nama beliau.

Sheikh Ra’ed berkunjung ke London atas jemputan Middle East Monitor (MEMO) pada bulan Jun tahun lepas bagi menyampaikan ceramah untuk selama 10 hari, terutamanya kepada ahli-ahli parlimen di Westminster. Program kunjungan beliau telah dihebahkan lebih awal, tetapi tidak menarik perhatian pegawai-pegawai keselamatan, UK Border Agency mahupun Kementerian Dalam Negeri.

Setelah dua hari meneruskan program berceramah di United Kingdom, Kementerian Dalam Negeri Britain mendakwa bahawa suatu perintah pengharaman telah diletakkan pada Sheikh dan beliau ditangkap di hotel penginapan beliau di London. Berikutan tahanan itu, Sheikh Ra’ed tinggal di London di bawah perintah berkurung di mana beliau telah memilih untuk tinggal di Britain untuk membersihkan namanya. Beliau turut diperintah melaporkan diri di balai polis tempatan pada setiap hari dan dikenakan sekatan untuk menghalang beliau daripada berucap di khalayak ramai.

Sheikh Ra’ed terkenal dengan jolokan Sheikh Al-Aqsa atau Singa Al-Aqsa atas kesungguhan beliau menjaga masjid suci itu dan wilayah al-Quds daripada kejahatan Zionis Yahudi. Semoga Allah SWT menganugerahi beliau kesihatan dan kesejahteraan, dan membantu beliau terus berjuang untuk Al-Quds dan Masjid al-Aqsa, dan kesemua kawasan suci yang sedang dicerobohi Zionis.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts