Ringkasan

Sheikh Raed Mula Jalani Hukuman Penjara

25 Julai 2010, Bethlehem — Ketua Pergerakan Islam Jajahan 1948 (juga dipanggil sebagai Green Line Area – GLA) Sheikh Raed Shalah memulakan hukuman penjara selama 5 bulan di Penjara Ayalon. Beliau yang diiringi oleh ratusan orang penyokong, ahli-ahli Knesset (Parlimen Israel) berbangsa Arab, pemimpin-pemimpin di GLA termasuk Mohamed Zidan dan juga wakil-wakil daripada Golan Heights telah menyerah diri kepada pihak berkuasa Zionis di penjara berkenaan.

Dalam kenyataan media beliau, Sheikh Raed memberi amaran bahawa sebarang usaha Zionis yang bertujuan untuk memusnahkan Masjid al Aqsa boleh menyebabkan berlakunya peperangan di Timur Tengah yang seterusnya akan mencetus peperangan dunia ketiga. Beliau menjelaskan bahawa tempoh separuh akhir tahun 2010 ini merupakan saat genting bagi pergolakan di Masjid al Aqsa kerana Zionis sedang berusaha  untuk melaksanakan perancangan mereka memecah-mecahkan kawasan Masjid suci itu.

Sambil menyebut bahawa hukuman yang akan beliau lalui hanyalah suatu perkara kecil, Sheikh Raed menyeru kepada semua mereka yang ikhlas, termasuk seluruh dunia Arab dan Islam, supaya tampil menyelamatkan Masjid al Aqsa daripada sebarang rancangan jahat Zionis.

Pada 13 Julai lalu, beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 9 bulan selepas didapati bersalah atas tuduhan meludah seorang pegawai polis Israel di pintu masuk Dung di Baitulmaqdis pada bulan Februari 2007. Dalam kejadian tersebut, Sheikh Raed bersama-sama 4 orang Arab lain termasuk Dr Seleiman Eghbareyya sedang dikepung oleh askar-askar Zionis yang lengkap bersenjata ketika mereka sedang mengadakan protes terhadap kerja-kerja pembinaan dan menggali terowong di Masjid al Aqsa. Berikutan peristiwa itu, mereka telah diharamkan daripada memasuki Masjid al Aqsa, malahan tidak dibenarkan berada di dalam kawasan lingkungan 150 meter daripada bandar Jerusalem. Sheikh Raed juga telah dilarang daripada mengadakan sebarang perjumpaan di tempat awam yang melibatkan lebih daripada 6 orang.

Menurut kenyataan Perkhidmatan Penjara Israel, Sheikh Raed akan dikurung dalam penjara secara berseorangan di tempat yang biasanya dikhususkan untuk penjenayah berat seperti ketua-ketua mafia.

Peguam-peguam Sheikh Raed telah membuat permohonan supaya hukuman itu ditangguhkan sehingga selepas bulan Ramadhan. Walaubagaimanapun pihak berkuasa Israel menolak permohonan tersebut.

Bagi pihak mereka, Pergerakan Islam di GLA menyatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh rejim Zionis itu tidak akan sekali-kali melemahkan perjuangan mereka menentang perancangan dan usaha jahat Zionis terhadap Masjid al Aqsa. “Kami tidak takut kepada penjara, tapi jika kamu (Israel) fikir hukuman (memenjarakan Sheikh Raed) ini dapat menghalang kami dari apa juga usaha mempertahankan masjid al Aqsa, kamu (sebenarnya sedang) bermimpi”, sebut kenyataan media pergerakan itu sebagai reaksi terhadap hukuman tersebut. [mn/YNet/Maan]

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Related Posts