Shimon Peres – pengganas dan penjenayah perang yang disanjung sebagai tokoh keamanan

LONDON, 28 Sep 2016 (MEMO) — Kematian Shimon Peres pada hari ini susulan serangan angin ahmar pada 13 September lalu mempamerkan sikap hipokrit dunia Barat terhadap jenayah dan penjajahan yang dilakukan oleh rejim Zionis.

Peres, 93, dilahirkan di Belarus pada tahun 1923. Keluarga beliau “berpindah” ke tanah Palestin pada tahun 1930-an, di mana Peres kemudiannya menjadi anggota kumpulan pengganas bersenjata Yahudi, Haganah, yang menerajui kempen menghancurkan perkampungan Palestin ketika peristiwa Nakba dari tahun 1947 hingga 1949.

Dalam keganasan mereka menghalau penduduk Palestin meninggalkan tanah asal mereka, Peres sentiasa menegaskan bahawa tentera Zionis “mengunakan senjata secara bijaksana” ketika membentuk negara haram mereka di atas bumi Palestin. Bahkan, beliau mendakwa bahawa sebelum tertubuhnya negara haram itu, “kawasan tersebut hanyalah sebidang tanah gersang yang tidak mempunyai apa-apa.”

Sepanjang tujuh dekad, Peres menjadi Perdana Menteri rejim Zionis sebanyak dua kali, dan pernah juga menjadi Presiden sungguhpun beliau tidak pernah memenangi pilihanraya secara langsung. Beliau pernah menjadi ahli kabinet Zionis sebanyak 12 kali dan menjawat Menteri Perang, Menteri Luar dan Menteri Kewangan.

Peres disanjung oleh dunia Barat kerana peranan beliau dalam menjayakan Perjanjian Oslo 1993, yang seterusnya membawa beliau kepada pengiktirafan sebagai pemenang hadiah Keamanan Nobel bersama Yitzhak Rabin dan Yasser Arafat.

Namun bagi penduduk Palestin dan dunia Arab khususnya, Peres merupakan seorang yang berlainan sama sekali daripada apa yang dipuja dan cuba ditonjolkan oleh dunia Barat.

Berikut adalah beberapa rekod utama Peres dalam sejarah penjajahan dan jenayah Zionis.

Senjata nuklear

Antara tahun 1953 dan 1965, Peres menjadi pengarah Kementerian Perang Zionis dan kemudian menjawat Timbalan Menteri Perang. Beliau disanjung sebagai arkitek program senjata nuklear Zionis, yang sehingga ke hari ini masih bebas dari pemeriksaan Agensi Tenaga Nuklear Antarabangsa (IAEA).

Pada tahun 1975, Peres menemui Menteri Pertahanan Afrika Selatan PW Botha dan menawarkan untuk menjual senjata nuklear kepada rejim Apartied itu. Dalam kejadian lain pada tahun 1986, Peres memberi izin kepada agen perisikan Mossad untuk menculik pembocor rahsia senjata nuklear, Mordechai Vanunu, di Rom.

Membunuh dan menyiksa penduduk Palestin

Peres memainkan peranan utama dalam jenayah tentera Zionis ke atas penduduk Palestin sehingga tahun 1996, di mana mereka menghalau keluar penduduk Palestin dan merompak tanah secara besar-besaran.

Salah satu kaedah yang beliau wujudkan adalah “Artikel 125,” yang membenarkan tanah Palstin dirampas untuk tujuan ketenteraan. Sekiranya pemilik enggan membenarkan tentera memasuki tanah mereka, tanah tersebut akan dirampas sebagai “tanah yang tidak diusahakan.” Peres menyifatkan Artikel 125 sebagai usaha untuk memperjuangkan hak pendatang Yahudi dan menggalakkan penghijrahan masuk Yahudi.

Ketika menjadi pengarah Kementerian Perang, beliau juga bertanggungjawab meyahudisasi kawasan Galilee; iaitu mengadakan polisi bagi meluaskan kawasan tersebut untuk pendatang Yahudi dengan merampas dan menyempitkan kawasan penduduk Palestin.

Pada tahun 2005, sebagai timbalan kepada Ariel Sharon, Peres terus menyerang bumi Palestin dengan rancangan untuk menggalakkan pendatang Yahudi berpindah ke Galilee. Rancangan “pembangunan” beliau melibatkan pembinaan sebanyak 104 kawasan kejiranan, 100 daripadanya khusus untuk kaum Yahudi.

Pada tahun yang sama, Peres mengadu kepada Amerika bahawa mereka “kehilangan 1,000 kilometer persegi” tanah di Gurun Naqab angkara kaum Badwi Palestin. Justeru beliau mencadangkan “pembangunan” di Gurun Naqab dan Galilee bagi menghadapi “ancaman perubahan demografi.”

Bina penempatan haram di Tebing Barat

Sepanjang tempoh menjadi Menteri Perang dari tahun 1974 hingga 1977, rejim Zionis pimpinan Yitzhak Rabin telah membina beberapa kawasan penempatan haram Yahudi yang utama di atas tanah milik persendirian penduduk Palestin yang dirampas, termasuk di Ofra.

Selain berperanan dalam pembinaan kawasan penempatan haram sejak peringkat awal, Peres terus mengambil langkah-langkah bagi membenarkan percambahan koloni haram Yahudi, atas nama “rundingan damai.”

Pembunuhan di Qana

Sebagai Perdana Menteri rejim Zionis pada tahun 1996, Peres mengarah dan memantau “Operation Grapes of Wrath” di mana tentera Zionis telah membunuh 154 serta mencederakan 351 penduduk awam di Lubnan. Operasi tersebut, yang jelas menjadi sebahagian daripada strategi kempen menjelang pilihanraya, secara sengaja menyasarkan penduduk awam.

Dalam kempen tersebut, tentera Zionis mengebom perkarangan pejabat PBB dan membunuh seramai 106 orang yang berlindung di situ.

Pihak tenetra Zionis mendakwa insiden tersebut sebagai satu kesilapan teknikal. Namun tidak lama kemudian, tentera yang terlibat dalam operasi pemgebomam tersebut muncul dalam siaran TV dan menyatakan tidak pernah menyesal ke atas pembunuhan tersebut, kerana mereka yang mati “hanyalah segerombolan kaum Arab.”

Peres pula mendakwa, “semuanya dijalankan mengikut perkiraan yang logik dan bertanggunjawab.” Kata beliau, “saya sangat senang hati.”

Kekejaman dan sekatan di Gaza

Sejak 10 tahun lalu, Peres menjadi duta antarabangsa yang paling penting bagi rejim Zionis. Sepanjang tempoh tersebut, Gaza disekat secara berterusan dan diserang besar-besaran sebanyak tiga kali. Sungguhpun dikecam masyarakat dunia, Peres tetap mendokong kekejaman dan tindakan ketenteraan ke atas penduduk awam Gaza itu.

Contohnya, pada tahun 2009, ketika pertubuhan hak asasi mendesak serangan ke atas penduduk Gaza dihentikan, Peres mendakwa serangan tersebut penting bagi menjaga solidariti kebangsaan Zionis. Menurut beliau, tujuan serangan tersebut adalah “untuk memberi tamparan hebat kepada penduduk Gaza supaya mereka tidak lagi terfikir untuk menembak Yahudi.”

Dalam serangan pada tahun 2012 pula, Peres memainkan peranan membina hubungan luar bagi rejim Zionis dengan menyampaikan “keterangan” kepada pemimpin dunia. Menjelang tercetusnya serangan, Peres memberi amaran kepada Hamas bahawa jika mereka inginkan “penduduk Gaza hidup seperti orang lain, mereka mesti menghentikan serangan roket ke arah Yahudi.”

Manakala dalam serangan pada tahun 2014, Peres muncul lagi untuk “membersihkan” jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis. Selepas tentera Zionis menembak mati empat kanak-kanak Gaza yang sedang bermain di pantai, Peres menyalahkan penduduk Gaza kerana “mereka telah maklum bahawa kawasan tersebut akan diserang, malangnya mereka biarkan kanak-kanak bermain di situ.”

Peres juga mendokong penuh sekatan ke atas Gaza, atas alasan ianya adalah satu bentuk hukuman secara kolektif. Pada tahun 2014, beliau berkata, “sekiranya Gaza melucutkan senjata, tidak perlu lagi sekatan.”

Tidak pernah meminta maaf, hingga mati

Peres mendukung wawasan yang sangat jelas dalam perjanjian damai dengan “penduduk Palestin.” Pada tahun 2014, beliau berkata, “Prioriti utama adalah untuk mengekalkan Negara Yahudi. Ini matlamat utama kita, itulah perjuangan kita.”

Tahun lalu, beliau mengulangi sentimen tersebut dan menyebut, “Israel harus melaksanakan penyelesaian secara dua negara untuk kepentingannya, supaya tidak hilang majoriti [sebagai identiti Yahudi].”

Bebrapa tahun lalu Peres menyifatkan penduduk Palestin sebagai “menganiaya diri sendiri.” Beliau mendakwa, “Mereka adalah mangsa kesilapan sendiri yang tidak sepatutnya mereka lakukan.”

Itulah sikap bangsat seorang penjenayah yang sentiasa memutar belit muslihat penjajahan sebagai satu bentuk “keamanan.”

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts