Siapa yang bertanggungjawab menyerahkan Tebing Barat kepada rejim Zionis?

Sikap mengambil mudah dan memandang remeh ke atas suatu malapetaka menjurus kepada malapetaka yang lebih memusnahkan. Pihak yang merampas hak penduduk Palestin bukan sahaja pemimpin Zionis dan Yahudi, tetapi sebenarnya juga mereka yang membantu penjajah tersebut. Mereka termasuklah Amerika dengan memiliki kuasa dan wang; negara-negara Arab yang bersekongkol di belakang tabir; dan sekelompok bangsa Palestin sendiri yang menabik dada dengan kuasa politik mereka sehingga memandang mulia jalinan kerjasama keselamatan dengan pihak musuh.

Resolusi Parti Likud untuk merampas Tebing Barat berbunyi; “Pada hari ulangtahun ke-50 pembebasan wilayah Judea dan Samaria [Tebing Barat], termasuk ibukota abadi kita Jerusalem [Baitulmaqdis], Jawatankuasa Pusat Likud menyeru pegawai-pegawai yang dipilih [pemimpin] oleh Likud supaya bertindak untuk mendapatkan kebebasan untuk pembinaan dan menerapkan undang-undang Israel serta kedaulatannya ke semua kawasan penempatan [haram] Yahudi yang telah dibebaskan [tanah yang dirampas] di Judea dan Samaria.”

Ramai yang percaya bahawa resolusi Likud itu telah menghapuskan Perjanjian Oslo, dan tidak ada lagi sebarang perkara untuk dirundingkan. Sebahagian yang lain berpendapat ianya telah melenyapkan penyelesaian dua-negara.
Manakala tidak kurang juga yang menganggap ianya suatu yang remeh dan mendakwa resolusi tersebut “hanya” terpakai ke atas kawasan penempatan Yahudi, yang merangkumi 60% Tebing Barat. Kononnya masih ada lagi peluang untuk melawan rejim Zionis berkenaan isu ini di PBB.

Ada pula yang menganggap resolusi ini hanyalah keputusan di peringkat parti, yang tidak mengikat kepada rejim Zionis. Mereka tidak mengambil kira fakta bahawa pakatan Likud membentuk majoriti barisan pemerintahan Zionis.

Kita juga ada mendengar kenyatan yang berapi-api, bahawa resolusi ini tidak sah dan terbatal; bahawa ia tidak akan dibiarkan terlaksana; bahawa konspirasi ini akan dapat dipatahkan; bahawa Tebing Barat adalah tanah milik Palestin. Namun setelah membuat kenyataan sedemikian, mereka masih meneruskan kerjasama keselamatan dengan agensi-agensi perisikan Zionis bagi menghapuskan barisan pejuang Palstin yang menyerang penjajahan. Mereka bahkan merancang perjumpaan bagi mencari jalan untuk menangani resolusi tersebut.

Pada hakikatnya, bangsa Palestin sedang berhadapan dengan bencana politik, dan satu malapetaka yang tidak kurang hebatnya seperti Nakba 1948. Negara “Israel” bukan terbina dengan tiba-tiba pada tahun 1948, ia terbentuk selepas keberadaan mereka di atas bumi tersebut selama beberapa dekad. Inilah yang berlaku hari ini. Resolusi parti Likud tidak dibuat secara tiba-tiba tetapi setelah pendatang Yahudi membajak tanah Tebing Barat selama bertahun-tahun dalam keadaan bangsa Palestin bersikap tidak endah, terus khayal bekerjasama dan berunding. Ia dibuat selepas pemimpin Palestin menutup mata terhadap tindakan Zionis, dan terus bersikap senyap [secara mencurigakan] selama bertahun-tahun.

Keputusan untuk menyerap masuk Tebing Barat ke dalam wilayah “kedaulatan Israel” adalah hasil semulajadi daripada pendekatan politik Palestin yang memberi laluan kepada Zionis merampas tanah mereka. Oleh itu, langkah untuk memperbetul keadaan bukan hanya dengan berhadapan dengan rejim penjajah tetapi harus dimulai dengan mengambil langkah tegas terhadap pemegang polisi Palestin yang membenarkan Zionis melakukannya. Sesiapa sahaja yang terlibat membantu rampasan tanah Palestin mesti dipertanggungjawab, dan setiap pemimpin yang melepaskan peluang untuk menyekat penjajah serta menjamin keselamatan mereka di Tebing Barat harus dihukum.

Ramai yang tersilap dan menganggap Palestine Liberation Organisation (PLO) mengiktiraf “negara Israel” mengikut sempadan Armistice Line 1949, yang merangkumi 78% tanah asal Palestin. Benar, PLO mengiktiraf “negara Israel”, tetapi ianya adalah sebuah negara yang sangat unik, kerana tidak pernah diisytihar di mana sempadannya. Oleh itu negara ini cukup anjal untuk menyerap masuk sebarang, atau seluruh, wilayah dari Palestin atau dunia Arab. Ini jelas sekali menunjukkan sikap dan pendirian Zionis bahawa mereka tidak berpuas hati dengan hanya di dalam Armistice Line 1949. Ia suatu “negara” yang mana wilayahnya boleh berkembang meluas, beroperasi mengikut kenyataan Ketua Rabbi bahawa, “Sempadan kita ditentukan oleh tapak kaki kita.”

Jenayah mengisytihar “negara Israel” adalah satu tragedi, kerana ia memberi pengiktirafan secara menyeluruh dan terkehadapan ke atas semua resolusi Zionis untuk merampas dan menyerap tanah Palestin, termasuklah keputusan parti Likud untuk menyerap wilayah Tebing Barat.

Bangsa Palestin tidak mungkin dapat diselamatkan dari Nakba atau bencana ini, kecuali dengan menyelamatkan kepimpinan politiknya, yang mana kerjasama mereka telah membuka laluan kepada resolusi Likud. Apa sahaja langkah lain, termasuklah perjumpaan dan persidangan, tidak akan membawa sebarang hasil. Bahkan langkah ini akan hanya menghina darah-darah syuhada. Ahli-ahli politik ini seolah-olah menghunus pisau milik pendatang Yahudi ke leher penduduk Palestin.

(Petikan komentar Dr Fayez Abu Shamaleh, MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts