Siapakah para murabithin dan murabitaat al-Aqsa?

BANDAR BARU BANGI, 17 Julai 2017 (BHP) — Masjid al-Aqsa, yang merupakan kiblat pertama umat Islam dan masjid ketiga paling suci selepas Masjid al-Haraam dan Masjid Nabawi, menyaksikan kejahatan rejim Zionis dan pendatang Yahudi yang semakin memuncak.

Setiap hari pasukan polis Zionis membawa gerombolan pendatang Yahudi, mencetus provokasi dan cuba menodai status quo tapak suci itu. Para murabituun menjadi tuggak bagi memastikan Masjid al-Aqsa dipertahankan daripada agenda jahat Zionis.

Murabituun al-Aqsa adalah sukarelawan lelaki dan wanita yang akan berusaha masuk ke perkarangan Masjid al-Aqsa setiap hari, dalam apa jua keadaan, untuk memastikan Masjid al-Aqsa mempunyai “penghuni atau penjaga.”

Ramai dari kalangan mereka datang dari wilayah Palestin yang tidak berapa yang jauh, atau dari wilayah yang berjiran, dan meninggalkan pekerjaan dan kediaman mereka, melintasi sekatan-sekatan pemeriksaan penjajah Yahudi, mengambil masa berjam-jam atau berhari hari untuk memastikan Masjid al-Aqsa ada penjaganya.

Mereka akan mengisi ruang dan halakah di perkarangan atau di dewan Musolla al-Qibli.

Antara tugas utama mereka adalah bagi memastikan tentera dan pendatang yahudi tidak sewenang-wenangnya masuk dan berkeliaran di tapak suci umat Islm itu. Pendatang Yahudi yang dilindungi oleh tentera penjajah, selalunya akan masuk berkumpulan berkeliaran dan kadang kala menjalankan ritual Talmud di perkarangan masjid.

Tanpa mereka, tentera dan pendatang Yahudi akan melakukan aktiviti mereka sewenang-wenangnya dalam kawasan masjid, dalam erti kata lain, “mengambil alih” Masjid Al Aqsa sepenuhnya.

Mengapa kita perlu membantu pada murabituun ini?
Mereka adalah barisan pertahanan terakhir untuk menjaga Masjid al-Aqsa.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak mempunyai hak untuk membawa sebarang senjata dan tiada kuasa ke atas penduduk dan pendatang Yahudi. Negara Palestin juga tidak mempunyai tentera atau polis di Tebing Barat dan wilayah lain yang dijajah.

Pemuda atau kaum lelaki dalam umur tertentu atau mereka yang datang dari wilayah lain tidak dibenarkan memasuki masjid Al Aqsa. Pemuda pemuda yang mendapat kebenaran khas, seperti mereka yang berjiran dengan masjid, boleh memasuki masjid dengan pelbagai syarat. Mereka ini pula akan diganggu oleh tentera Yahudi, seperti ditangkap atau dipecah belahkan. Ramai dari kalangan mereka ditangkap dan dibunuh.

Mereka telah mempersaksikan dalam hidup mereka, dengan mengorbankan harta, tenaga malah nyawa untuk mempertahankan masjid yang ketiga paling suci untuk seluruh umat Islam seluruh dunia. Mereka adalah sukarelawan yang tidak mengharapkan bayaran dari sesiapa pun.

Para murabithin dan murabitaat (perempuan) adalah di antara benteng terakhir mewakili seluruh umat Islam mempertahankan Masjid al-Aqsa. Di tangan merekalah, mereka berusaha menjaga maruah seluruh umat Islam.

Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan
Ketua Biro HALUAN Palestin
HALUAN Malaysia

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts