Susuli Perhimpunan Dengan Semangat Al-Aqsa

KUALA LUMPUR, 2 Okt 2015 (BHP) — Perhimpunan Selamatkan Masjid Al-Aqsa yang dijayakan melalui kerjasama dan muafakat hampir 50 badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik tanah air hari ini telah berjaya menyuntik semangat kepada para peserta, terutamanya di kalangan pemuda serta penuntut institusi pengajian tinggi, untuk membantu perjuangan Palestin.

Pemidato HALUAN dalam perhimpunan tersebut, Mohd Razali Maarof mengajak peserta supaya berikrar untuk terus memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha membantu serta menyelesaikan permasalahan Palestin. Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Biro Relawan HALUAN telah menggariskan beberapa langkah yang perlu diambil bagi menjayakan misi tersebut.

Menurut Mohd Razali, melalui perhimpunan hari ini rakyat Malaysia dengan tegas dan berani menyatakan rasa dukacita dan membantah tindakan biadap rejim Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa dan bumi Palestin. Dengan penuh semangat, beliau bertanya kepada peserta perhimpunan, “Apakah anda mencintai Palestin, apakah anda menyayangi Masjid Al-Aqsa,” yang semuanya dijawab dengan laungan “Ya!”.

“Walaupun Masjid Al-Aqsa terletak jauh dari kita, tetapi hari ini ia sangat dekat di hati kita,” kata Mohd Razali. Mengakhiri pidato, beliau menyeru supaya para peserta pulang dengan membawa apa yang beliau panggil sebagai “semangat Al-Aqsa”.

Semangat Al-Aqsa tersebut mengadungi empat elemen penting, iaitu pertamanya keikhlasan dalam semua usaha membantu Palestin kerana setiap kemenangan memerlukan hati yang benar-benar ikhlas. Keduanya, beliau menyeru supaya mendekati dan mengambil ajaran Al-Quran sepenuhnya, semoga dengan itu kita mempunyai kekuatan dan mampu untuk menentang kezaliman Zionis.

Kemudian, permasalahan Palestin dan serta mesej kebenaran dan kedamaian berkaitannya haruslah dikongsi dan disampaikan ke seluruh lapisan masyarakat dengan menggunakan segala kekuatan teknologi yang apa pada hari ini. Akhirnya, kita harus berdoa secara berterusan memohon diberi kemenangan dalam melawan kejahatan rejim Zionis.

Semoga saranan beliau dapat melahirkan ramai pembela Palestin dan keadilan sejagat dari kalangan masyarakat kita.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts