Syarat utama rundingan damai – akui Israel sebagai negara untuk Yahudi

Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa rundingan damai secara langsung dengan pihak Otoriti Palestin mesti didasarkan kepada syarat utamanya, iaitu mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara untuk kaum Yahudi. Bagi pihak Israel, Netanyahu juga telah ‘meyakinkan’ menteri-menteri yang dipimpinnya daripada parti Likud bahawa keputusan untuk membekukan perluasan penempatan haram akan dilaksana seperti yang dijanjikan.

Dalam mesyuarat mingguan bersama menteri-menteri daripada parti Likud, Netanyahu menegaskan bahawa beliau berhasrat untuk mencapai kemajuan yang serius dan tanggungjawab bagi persetujuan damai yang didasarkan kepada pengiktirafan Israel sebagai sebuah negara untuk bangsa Yahudi.

Netanyahu turut menekankan bahawa berdasarkan pengiktirafan inilah segala perjanjian damai akan dimeterai, yang menurut beliau akan mengakhiri konflik dengan Palestin dan seterusnya meletakkan langkah-langkah bagi memastikan keamanan Israel yang berkekalan.

Perdana Menteri rejim pengganas Zionis itu juga menegaskan tentang perlunya rundingan secara langsung yang akan bermula minggu hadapan di Washington dibuat tanpa sebarang syarat. Beliau juga menuntut agar pihak Otoriti Palestin bersikap serius dan jujur sepertimana Israel, dalam rangka mencapai perjanjian damai yang berkekalan.

Bagaimanapun Netanyahu menyebut bahawa keputusan untuk membekukan aktiviti perluasan penempatan haram Yahudi mulai 26 Septembar akan tetap dilaksanakan seperti yang dirancang. (mn/Al Jazeera)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts