Tahanan Palestin lancar mogok lapar besar-besaran “Karama 2”

GAZA, 7 Apr 2019 — Lebih 1,500 tahanan Palestin akan melancarkan mogok lapar besar-besaran dalam penjara Zionis, bagi membantah keganasan dan hukuman melampau pihak keselamatan penjara ke atas mereka.

Kempen mogok ini digelar “Karama [Maruah] 2”.

Kira-kira 30 pemimpin tahanan telah memulakan mogok hari ini, dan dua kumpulan lain melibatkan 1,500 tahanan akan menyusuli mereka secara berturutan pada 17 April dan 1 Mei. Tahanan dari Hamas, Jihad Islami, Barisan Popular, Barisan Demokratik dan Fatah menyertai mogok tersebut.

Mereka mendesak empat tuntutan utama. Pertama, supaya tahanan dibenarkan berkomunikasi dengan keluarga melalui perkhidmatan telefon sepertimana yang diberi kepada penjenayah Yahudi.

Kedua, pihak penjara membuang semula semula alat melintangi gelombang telefon yang dipasang dalam penjara, yang menjadi punca pening dan sakit kepala serta dipercayai mengakibatkan sakit barah.

Ketiga, mereka menuntut supaya keluarga dibenarkan melawat semua tahanan, termasuk tahanan Hamas dari Gaza, dan semua keluarga tahanan dari Tebing Barat dibenarkan melawat dua kali sebulan.

Akhirnya, mereka menuntut dihentikan semua bentuk tindakan punitif ke atas tahanan.

(PIC, Maan, MEMO)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts