Tahanan Palestin tidak diberi rawatan, meninggal dunia dalam penjara

GAZA, 6 Feb 2019 — Tahanan Palestin Fares Baroud, 51, meninggal dunia dalam penjara Raymond hari ini, apabila kesihatannya merosot kerana tidak diberi rawatan oleh pihak penjara secara sengaja.

Fares merupakan tahanan paling lama dari Gaza yang dikurung dalam penjara Zionis. Beliau berasal dari kem pelarian al-Shati dan ditangkap pada tahun 1991. Fares dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan tambahan 35 tahun lagi, atas tuduhan membunuh seorang pendatang Yahudi.

Pihak penjara Zionis tidak membenarkan ahli keluarga melawat beliau sejak 18 tahun, di mana beliau dikurung secara berseorangan. Tahun lalu, ibunya yang hilang penglihatan sebelum sempat melihat wajah anaknya sejak berpisah, telah meninggal dunia.

Fares dijadualkan bebas bersama 30 orang tahanan lain dalam satu persefahaman untuk memulihkan rundingan dengan Pihak Berkuasa Palestin pada akhir tahun 2013. Bagaimanapun rejim Zionis membatalkannya atas “alasan politik.”

Semalam, pihak penjara mengejarkan beliau ke unit rawatan rapi di klinik penjara Raymond apabila keadaannya meruncing.

Insiden ini menjadikan bilangan tahanan Palestin yang meninggal dunia ketika dalam tahanan Zionis meningkat kepada 209 orang.

(PIC, WAFA)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts