Tanah Palestin Dirompak Untuk Kembangkan Penempatan Yahudi

AL-QUDS, 9 Ogos 2015 (Anadolu) — Sejak penjajahan mereka ke atas wilayah Al-Quds Timur, Tebing Barat dan Gaza, rejim Zionis berusaha keras bagi merealisasi polisi untuk membina dan mengembangkan penempatan Yahudi, dalam aspek perluasan kawasan dan juga meningkatkan bilangan pendatang.

Hasil dari polisi tersebut, kini terdapat seramai 250,000 pendatang Yahudi yang tinggal di kawasan Tebing Barat yang terjajah, manakala seramai 350,000 orang lagi tinggal di penempatan dalam wilayah Al-Quds Timur.

Hanna Issa, seorang pakar dalam hal penempatan Yahudi, memberitahu bahawa kini terdapat sebanyak 145 penempatan Yahudi di Tebing Barat, yang dibina di atas lebih 540,000 dunam tanah Palestin. Satu dunam bersamaan dengan 1,000 meter persegi.

“Penempatan Yahudi dibina di Kawasan C, yang berada di bawah kawalan penuh rejim Zionis dan meliputi 60% kawasan Tebing Barat,” jelas Hanna.

Melalui penempatan seperti ini, rejim Zionis bukan sahaja mengawal kawasan tanah di Tebing Barat bahkan juga semua sumber asli yang ada di bawahnya.

“Rejim Zionis mengawal 91% daripada sumber air di dalam wilayah Palestin dan menghalang penduduk Palestin daripada menggali perigi atau memulih perigi usang,” kata Hanna.

Menurut Biro Statistik Pusat Palestin, pendatang Yahudi mengguna lebih daripada 50 juta meter persegi bekalan air dari sumber air Palestin untuk mengairi tanah yang mereka rampas dari penduduk Palestin sendiri.

Manakala di Al-Quds Timur, seramai 350,000 pendatang Yahudi tinggal di 32 buah penempatan yang dibina di dalam wilayah pentadbiran Al-Quds.

“Sejak 1979 rejim Zionis telah berusaha untuk mengubah pola demografi di Al-Quds Timur dan kini mereka telah berjaya sebahagian besarnya,” kata seorang lagi pakar dalam isu pembinaan penempatan Yahudi, Khalil Tufakji. “Pada tahun 2015, seramai 230,000 pendatang Yahudi tinggal di dalam wilayah Al-Quds Timur, berbanding hanya sekitar 185,000 penduduk Arab.”

Rejim Zionis menduduki wilayah Al-Quds Timur dalam Perang 1967. Mereka kemudiannya merampas kota suci Al-Quds pada tahun 1980, sekaligus dengan kawasan Al-Quds Barat, dan menyatukannya sebagai ibukota apa yang mereka isytiharkan sebagai “negara Yahudi” – satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Khalil mendakwa bahawa rejim Zionis sedang melaksanakan satu perancangan untuk menempatkan sejuta pendatang Yahudi di dalam seluruh wilayah Palestin yang mereka duduki sejak 1967.

“Zionis mengosongkan Al-Quds daripada penduduk asalnya, dan memisahkan kawasan tersebut dari kawasan Arab sekitarnya, mengisytiharkan Lembah Jordan sebagai zon ketenteraan, merampas ribuan dunam tanah di Tebing Barat dan menghubungkan bandar-bandar di pesisir pantai dengan kawasan yang memunyai blok penempatan Yahudi yang besar Tebing Barat dengan laluan keretapi,” kata Khalil.

Sejak bulan Mac tahun lalu, sekitar 2,500 unit penempatan Yahudi dibina di atas wilayah Tebing Barat dan Al-Quds.

Di samping membina tembok pemisah, rejim Zionis juga meningkatkan polisi mereka dalam merampas tanah Palestin di Tebing Barat.

“Dalam tahun 2009, rejim Zionis merampas 3,000 dunam tanah saya tanpa sebarang amaran,” kata Mohammad Abu Qibtia, seorang penduduk Palestin dari bandar Yatta berdekatan kota Al-Khalil di selatan Tebing Barat yang terjajah.

“Tentera Zionis mengepung tanah tersebut dengan pagar besi dan menghalang saya daripada masuk atas alasan keselamatan.” tambah beliau. “Mereka cuba membeli tanah tersebut tetapi saya enggan menjual, jadi mereka rampas untuk membina rumah penempatan pendatang Yahudi.”

Riayd Abu Katb yang berasal dari perkampungan Aqraba berdekatan Nablus, sebuah bandar di utara Tebing Barat yang terjajah, menegaskan bahawa tentera Zionis merampas tanahnya atas alasan bahawa kawasan tersebut termasuk dalam zon larangan tentera.

“Mereka menyerahkan arahan tentera, merampas tanah saya untuk melakukan latihan,” kata beliau. “Mereka halang saya masuk ke kebun zaitun, yang merupakan satu-satunya harta yang saya ada.”

Undang-undang antarabangsa menetapkan Tebing Barat dan Al-Quds Timur sebagai satu wilayah yang terjajah, sekaligus menjadikan semua pembangunan penempatan Yahudi di kawasan tersebut sebagai haram.

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts