GAZA, 7 Apr 2016 (Maan) — Tentera laut penjajah Zionis petang tadi menangkap dua orang nelayan Palestin yang belayar dalam lingkundan zon sembilan batu nautikal di perairan Gaza.

Mangsa dikenali sebagai Iyad Olwan dan Raed Abu Odda dari Khan Younis di selatan Gaza. Bot mereka ditinggalkan di tengah laut, sehinggalah dibantu bawa pulang oleh nelayan lain.

Sejak dikenakan sekatan oleh rejim Zionis dan Mesir 10 tahun lalu, nelayan Gaza tidak dibenarkan belayar melebihi enam batu nautikal. Sedangkan Perjanjian Oslo menetapkan supaya nelayan Gaza dibenarkan belayar sehingga 20 batu nautikal.

Minggu lalu rejim Zionis memutuskan untuk membenarkan nelayan Palestin belayar sehingga sembilan batu nautikal dari pantai Gaza. Perluasan kawasan menangkap ikan Gaza merupakan salah satu terma persefahaman damai pasca serangan pada tahun 2014.

Nelayan Gaza bagaimanapun menganggap perluasan tambahan 3 batu nautikal itu tidak memberi sebarang kesan kepada hasil tangkapan, bahkan hanya meningkatkan kos minyak dan peralatan kepada mereka. Lagipun, perluasan tersebut tidak merangkumi seluruh kawsan pantai Gaza.

SHARE