Tentera Zionis berundur dari Jenin selepas pertempuran sengit

JENIN, 18 Jan 2018 — Tentera Zionis awal pagi tadi berundur dari kawasan kejiranan Wad Burqin di wilayah Jenin selepas pertempuran bersenjata yang sengit sejak tengah malam.

Media Zionis menggambarkan pertempuran tersebut sebagai pengalaman yang sangat perit bagi pasukan khas tentera Zionis dari unit Eliyamam. Mereka bahkan memusnah empat buah rumah milik keluarga Jarrar sebagai membalas dendam dalam operasi di Kota Jenin itu.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan bahawa pemuda Ahmed Nasr Jarrar, anak kepada bekas komander kanan Briged al-Qassam as-syahid Nasr Jarrar, telah terkorban dalam pertempuran tersebut.

Bagaimanapun ibunya mengesahkan bahawa mangsa bukanlah anak beliau, dan beliau tidak tahu bagaimana nasib anaknya Ahmed Nasr kerana dia telah menghilangkan diri 30 minit sebelum pasukan tentera tiba.

Namun awal pagi ini pihak kementerian mengesahkan bahawa mangsa sebenarnya adalah Ahmed Ismail Jarrar, 31, iaitu sepupu kepada Ahmed Nasr. Ahmed Ismail berbalas tembakan dengan pasukan tentera Zionis dari jarak dekat, sehingga mencederakan dua orang askar Zionis di mana salah seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Pasukan tentera dan polis sempadan Zionis dengan menaiki 120 buah kenderaan menyerbu beberapa kawasan di Jenin pada jam 11:15 malam tadi, termasuk kawasan kejiranan al-Hadaf di mana mereka bertempur dengan pasukan mujahidin. Pertempuran berterusan sehingga awal pagi.

Dua penduduk Palestin ditangkap serta enam yang lain cedera dan dikejarkan ke Hospital Kerajaan Jenin.

Dengan kegagalan tentera Zionis menangkap atau membunuh Ahmad Nasr, operasi memburu beliau akan berterusan.

(PIC, WAFA)

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on email
Email

Related Posts