NABLUS, 9 Jan 2018 — Tentera Zionis melancarkan kempen memburu penduduk Palestin secara besar-besaran di Tebing Barat dan Baitulmaqdis sepanjang malam tadi, dengan menculik sekurang-kurangnya 13 orang.

Di selatan wilayah Nablus, tentera Zionis menyerang masuk perkampungan Qusra dan menculik Qussai Abdul-Mon’em Abu Reeda sebelum merampas sebuah traktor milik beliau.

Tentera turut menceroboh masuk perkampungan ‘Orif di selatan Nablus dan menculik Aseed Mohammad Shehada dari rumahnya.

Manakala di Baitulmaqdis, tentera memecah masuk dan menggeledah rumah-rumah penduduk di bandar Anata, Qotna dan Silwan sebelum menculik empat penduduk termasuk dua beradik Jihad dan Eyad Shweiki.

Puluhan askar Zionis menyerbu kem pelarian ‘Aida di utara Beit Lahm, menggeledah rumah dan menculik Setiausaha Pergerakan Fatah, Mohammad Lutfi Da’amsa, bersama Nassim at-Teety, Yousef at-Teety dan Omar ‘Aassi.

Di al-Khalil pula, tentera Zionis menculik pemuda Ayman Abdul-Rahman al-Qassas yang pernah ditembak oleh tentera sebelum ini.

Beberapa buah rumah di timur laut wilayah Salfit turut dipecah masuk dan digeledah, di mana remaja Sameh Omar Abu Zeid, 19, dan Ra’fat Emad Thiab, 21, diculik dari bandar Deir Istiya.

Di pusat kota Salfit, tentera Zionis melepaskan tembakan ke arah penduduk dan merampas rakaman kamera keselamatan dari sebuah stesen minyak.

(IMEMC)

SHARE