Tentera Zionis culik 18 penduduk Tebing Barat, rampas wang tunai

RAMALLAH, 12 Feb 2019 — Tentera penjajah Zionis menculik sekurang-kurangnya 18 orang dan merampas wang tunai penduduk Palestin dalam operasi memburu mereka yang terlibat dalam aktiviti anti-penjajahan di Tebing Barat sepanjang malam tadi.

Seramai empat orang diculik dari Jenin setelah memecah masuk dan menggeledah rumah keluarga mereka, sehingga mencetus pertempuran dengan pemuda-pemuda setempat.

Di al-Khalil, tentera Zionis menculik seorang kanak-kanak 16 tahun dari rumahnya di bandar Beit Ummar serta menculik seorang pemuda dan merampas kenderaan beliau.

Mereka juga memecah masuk dan menggeledah rumah mantan Menteri Kerajaan Tempatan, Issa al-Ja’bari, dan mencuri wang tunai berjumlah $US3,000 sebelum beredar.

Seorang bekas tahanan dari kem pelarian al-Fawwar diarah hadir ke pejabat perisikan Zionis di pusat tahanan Gush Etzion untuk diinterogasi.

Sementara di bandar Beit Furik yang berdekatan, tentera Zionis memecah masuk rumah seorang lagi bekas tahanan dan menginterogasi beliau selama beberapa jam. Mereka mencuri sejumlah wang tunai sebelum beredar keluar. Seorang pemuda tercedera apabila tentera penjajah Zionis melepaskan tembakan peluru hidup untuk menyurai pemuda-pemuda Palestin yang cuba menghalang tentera.

Tentera Zionis turut memecah masuk rumah-rumah di bandar Deir Istiya di wilayah Salfit, dan menculik seorang bekas tahanan.

Sementara di Beit Lahm, tentera Zionis memecah masuk sebuah kedai percetakan di bandar Beit Jala dan merosakkan sebahagian daripada peralatan yang ada di situ.

Di Baitulmaqdis pula, dua beradik Habis dan Saddam Ali Khatib diculik dari bandar Hizma.

(PIC, IMEMC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts