Tentera Zionis geledah rumah, culik 14 penduduk Palestin

RAMALLAH, 10 Apr 2019 — Tentera penjajah Zionis awal pagi tadi melancarkan kempen besar-besaran memecah masuk dan menggeledah rumah, serta menculik sekurang-kurangnya 14 penduduk Palestin dari Tebing Barat.

Di Baitulmaqdis, polis Zionis menggempur daerah Silwan di selatan Masjid al-Aqsa dan kejiranan Jabel Mukabber di tenggara Baitulmaqdis. Mereka menculik 10 remaja iaitu Khader Muhammad Odeh, 13, Jihad Juwad Abu Ramouz, 15, bersama adiknya Muhammad, 14, Sultan Sarhan, 14, Muhannad Zayd Mushahra, 17, Adi Adnan Ghaith, 17, Omri Suleiman Mushahra, 17, dan Samer Sarhan, 14. Dua lagi mangsa masih tidak dapat dikenali.

Tentera turut menculik seorang Ahli Majlis perkampungan Silat ad-Dhahr di selatan Jenin, Adnan Khalil Malalha, selepas memecah masuk dan menggeledah rumah keluarganya.

Sementara dua penduduk, Ali Abu Hussein dan Ali Naji Ayesh, diculik dari Beit Lahm. Tiga penduduk termasuk dua-beradik Muhammad dan Hasan Duhmaz, diculik dari Salfit dan Jenin.

Di al-Khalil, tentera Zionis memasang sekatan-sekatan jalan di kawasan bandar dan perkampungan bagi menghalang pergerakan penduduk.

Gerombolan besar tentera Zionis menyerbu bandar Tuqu’ di Beit Lahm dan menyerahkan notis kepada bekas tahanan Khalil al-Amour supaya hadir ke pusat perisikan untuk disoal siasat.

(Maan, IMEMC, PIC)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts