Tentera Zionis musnahkan 2 rumah di kota Jericho

JERICHO, 16 Jan 2019 — Tentera penjajah Zionis memusnahkan sebuah rumah dan sebuah karavan milik penduduk Palestin di perkampungan Fasayel, utara kota Jericho, dan meninggalkan ahli keluarga terbabit tanpa tempat berteduh.

Karavan seluas 30 meter persegi milik Abdul Hadi Ali Abiyat didakwa tidak mempunyai permit pembinaan. Beliau bersama isteri dan empat anak-anaknya ditinggalkan di kawasan terbuka dalam cuaca sejuk.

Menurut Abdul Hadi, tentera Zionis menyerahkan notis meroboh karavan beliau empat bulan lalu. Beliau telah melantik seorang peguam untuk membatalkan notis tersebut, namun rayuan beliau tidak dihiraukan oleh pihak pentadbiran Zionis.

Sementara di kawasan Nuwaimah yang berdekatan, tentera Zionis memusnahkan sebuah rumah tiga bilik milik keluarga Adnan Abu Kharbish. Beliau bersama tujuh ahli keluarganya kini hilang tempat berteduh.

Fasayel terletak 23 kilometer ke utara kota Jericho. Seramai 105 penduduk Palestin tinggal di situ. Ia dikelilingi oleh kawasan penempatan haram Yahudi, sekaligus menyekat pergerakan dan aktiviti harian penduduk Palestin.

Di utara Fasayel, terdapat kawasan penempatan haram Pezael adan Yafit. Manakala di selatan, ia disekat oleh kawasan penempatan haram Tomer, Gilgal dan Netiv Hegdud. Di sebelah timur pula, terdapat laluan pintas khusus untuk pendatang Yahudi, Road 60, yang menghubungkan penempatan di utara dan selatan.

(PNN, IMEMC, PIC, PNN)

LANGGAN NEWSLETTER HALUAN PALESTIN
Dapatkan berita terkini Palestin di Email anda 
Facebook
Twitter
WhatsApp
Email

Related Posts